Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 26, 2016

TIGA SUKAN SANDARAN PINGAT RIO


Khairy Jamaluddin


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyasarkan tiga acara sukan – badminton, berbasikal trek dan terjun – akan menyumbangkan pingat kepada kontinjen negara pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.

Katanya, beliau yakin semua atlet mempersiapkan diri terutama mereka yang dilihat berpotensi menyumbang pingat kepada negara khasnya jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei, jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang dan ratu terjun Pandelela Rinong.

Khairy berkata sasaran pingat dalam tiga acara sukan itu adalah realistik berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan atlet berkenaan.

“Bagi mereka yang kita sasarkan kemenangan podium dalam badminton, terjun dan berbasikal, saya harap mereka dapat memenuhi potensi masing-masing. Saya yakin, kalau mereka dapat memenuhi potensi sebenar di Rio, kita akan dapat pingat emas pertama.

“Pingat emas pertama ini boleh datang bukan daripada hanya seorang atlet tapi mungkin dua, tiga atau empat atlet. Kita harap mereka dapat melakukan yang terbaik pada hari pertandingan.

“Saya percaya Chong Wei jika berada di prestasi terbaik akan dapat pingat emas, begitu juga Azizul boleh memenangi final keirin, malah beregu badminton boleh melakukan kejutan serta Pandelela juga mempunyai peluang, kalau tidak emas, mungkin perak,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Sekretariat Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 (MASOC) dan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di Kementerian Belia dan Sukan.

Sebanyak 32 atlet akan menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Rio de Janiero dari 5 hingga 21 Ogos.
Untuk rekod, kontinjen negara meraih pingat perak dalam acara badminton menerusi Chong Wei pada temasya 2008 di Beijing dan 2012 (London), manakala pingat gangsa di Sukan Olimpik London 2012 melalui Pandalela.


0 comments:

share2