Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 27, 2016

RINTIHAN AZLINA DAPAT PERHATIAN


Rintihan Azlina dapat perhatian


Kuala Krai - Ibu bayi yang menghidap masalah Treacher Collins Syndrome berharap, anaknya dapat menjalani pembedahan segera kerana tidak sanggup melihat dia bernafas melalui tiub dipasang pada leher.

Biarpun wang terkumpul belum mencukupi, Azlina Arshad, 39, tetap bersyukur kerana ada pihak tampil menyumbang bantuan kewangan serta peti sejuk untuk menyimpan ubat Amni Umairah Basri, 22 bulan, agar tahan lama.

Suri rumah itu berkata, sebelum ini dia tidak mengetengahkan masalah ini kepada mana-mana pihak, namun atas nasihat dan pandangan Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru, Sekolah Kebangsaan Kuala Krai, dia sedia menyiarkan masalah Amni Umairah di Sinar Harian.

Katanya, setelah berita itu tersiar beberapa hari lalu, ada pihak tampil menyumbangkan peti sejuk untuk menyimpan ubat Omeprazole yang akan rosak selepas tiga hari berada pada suhu bilik.

“Saya yakin Amni dapat dibedah kerana rakyat Malaysia ramai yang prihatin.

“Biarpun jumlah kutipan sampai sekarang belum cukup, saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada yang menyumbang,” katanya.

Dia yang juga mangsa banjir Disember 2014, kini tinggal di Kem Sungai Durian setelah rumah sewanya di Jalan Geale hanyut pada bencana tersebut.

Ketika ditanya perkembangan terkini Amni Umairah, Azlina berkata, anaknya itu sihat serta tidak menghadapi masalah cuma perlu makan ubat dibekalkan doktor.

Katanya lagi, dia juga memantau keadaan Amni Umairah agar tidak mengambil makanan.

“Kalau Amni Umairah makan, dia susah nak bernafas. Saya juga selalu pantau pergerakannya,” katanya.

Amni Umairah memerlukan bantuan RM51,000 bagi menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Amni Umairah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank miliknya, 2-00-6701-00030412-3.


0 comments:

share2