Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 26, 2016

PULAU REDANG ALAMI GANGGUAN AIR


Pulau Redang alami gangguan air


Kuala Terengganu – Kira-kira 4,000 penduduk di Pulau Redang bakal mengalami masalah gangguan air berikutan paip utama di dasar laut mengalami kebocoran yang agak serius.

Ekoran masalah itu juga, pihak Syarikat Air Terengganu (Satu) hanya mampu membekalkan 50 peratus bekalan air daripada keupayaan sedia ada yang disalurkan kepada lebih kurang 300 rumah penduduk termasuk 11 chalet di pulau berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Ir Atemin Sulong berkata, kebocoran daripada paip sepanjang 27 kilometer di dasar laut itu dikesan dua hingga tiga hari sebelum hari raya.

“Kebocoran dimaklumkan dan dikesan dua hingga tiga hari sebelum raya dan kita cuba kesan sejak dua minggu lepas tetapi sehingga hari ini (semalam), belum berjaya.

“Kami sedang berusaha mengesan kebocoran melalui pakar-pakar (penyelam) yang ada. Satu mengambil masa panjang kerana sukar, ekoran paip ini berada hampir 100 kaki di dasar laut dan memerlukan penyelam-penyelam yang pakar untuk kesan kebocoran,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Media Terengganu di Pekarangan Pejabat Kawat, di sini.

Menurutnya, masalah itu berlaku dipercayai keadaan paip yang sudah lama dan berusia hampir 20 tahun, sebab itu pada mulanya Satu merancang untuk menukar paip tetapi memerlukan kos ratusan juta.

Bagaimanapun, kata Atemin, pihaknya sedang memikirkan beberapa kaedah lain dan mungkin tidak lagi menggunakan paip di dasar laut sebaliknya memproses air masin.

“Kita sedang fikir proses air masin dan tidak lagi bergantung bekalan air dari loji di Setiu, tetapi proses air masin perlukan kos yang agak tinggi juga, kita kaji dulu dan berusaha dapatkan peruntukan kerajaan negeri atau persekutuan,” katanya.

Atemin tidak dapat menjangka tempoh yang tepat bila masalah air itu dapat diselesaikan, namun menasihati penduduk supaya bersabar dan sementara air Satu masih ada, simpan secukupnya untuk kegunaan ketika kekurangan bekalan nanti.

“Masalah ini sukar nak jangka bila selesai, kaedah pengesanan, ada etika tak boleh menyelam berterusan, masalah ini sebabkan kesukaran untuk kita kesan kebocoran.

“Tetapi apabila kita dapat kesan semua lokasi kebocoran, kita akan teruskan pembaikan,” jelasnya.


0 comments:

share2