Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 26, 2016

GANTUNG LESEN JIKA INGKAR


 Gantung lesen jika ingkar


Shah Alam – Kerajaan memandang serius isu yang membabitkan pinjaman syarikat wang berlesen atau ah long yang dilihat membebankan masyarakat akhir-akhir ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memaklumkan, syarikat pinjaman wang yang diberi lesen pinjaman tidak boleh mengiklankan syarikat mereka seperti menampal iklan syarikat di tempat awam.

Beliau juga mengingatkan kepada mana-mana syarikat pinjaman wang yang gagal mematuhi peraturan lesen yang dikeluarkan akan berhadapan dengan tindakan tegas iaitu pembatalan lesen.

“Saya minta kepada orang ramai untuk buat aduan kepada pihak kementerian jika terlihat iklan sebegini agar pihak kementerian dapat membuat siasatan lanjut.

"Kementerian serius menangani isu ah long yang menyalahgunakan lesen pinjaman diberikan kerana dilihat menindas masyarakat yang tersepit," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, kementerian meluluskan dan telah mengeluarkan 46 lesen pinjaman wang.

"Di sini saya ingatkan sekali lagi, syarikat pinjaman wang berlesen agar tidak terlibat atau menawarkan skim pinjaman ah long selain hanya boleh buat pengiklanan di premis masing-masing sahaja.

“Selain orang awam, saya juga menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk turut sama mengambil peranan membuat aduan dalam isu ini kerana tindakan mengoyakkan iklan-iklan ah long ini tidak cukup sebaliknya laporan perlu dibuat untuk mengerakkan siasatan.

“Bagi syarikat yang tidak berlesen atau masih beroperasi setelah lesen dibatalkan pula, kita akan ambil tindakan tegas melalui undang-undang di bawah Akta Pinjaman Wang,” katanya ketika ditemui di program Rumah Terbuka Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih).


0 comments:

share2