GEORGETOWN 20 Julai - PKR Pulau Pinang masih belum bersetuju dengan cadangan untuk mengadakan pilihan raya tergempar negeri, kata Timbalan Ketua Menteri I dan Ahli Biro Politik PKR, Datuk Rashid Hasnon.
Beliau berkata, PKR negeri berpendirian sama dengan pusat dan memerlukan masa yang lebih untuk memahami cadangan itu.
"Kami bukan menolak cadangan itu tetapi memerlukan masa yang lebih untuk memahami cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri Rapid Penang di sini hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat biro politik malam tadi memutuskan bahawa PKR belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar itu.
"Kami akan membuat perbincangan yang seterusnya dengan pemimpin dan wakil rakyat (negeri ini)," katanya.
Laporan media baru-baru ini memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P.Ramasamy sebagai berkata, DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Pilihan pertama ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur respons rakyat negeri ini terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas Guan Eng dan pilihan kedua ialah menunggu pilihan raya umum akan datang.
Rashid bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada isu pilihan raya mengejut termasuk dalam agenda mesyuarat Exco hari ini.
"Saya telah menghadiri mesyuarat itu pagi tadi tetapi saya terpaksa tinggalkan untuk perasmian Rapid Bus dua tingkat... jadi saya tidak tahu sama ada perkara ini ada dibincangkan atau tidak," katanya.
Guan Eng dijangka mengadakan sidang media petang ini selepas mesyuarat Exco itu.
- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment