Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 22, 2016

PELAJAR MAUT AKIBAT KENCING TIKUS


Tikus


Alor Setar - Pelajar lelaki Tingkatan Dua yang meninggal dunia awal pagi semalam disyaki akibat jangkitan kencing tikus, dikatakan mandi di pusat rekreasi Bukit Wang, Jitra pada hari raya kedua yang lalu.

Ibunya, Sharimah Che Pa, 48, berkata, pada mulanya Allahyarham anak bongsunya itu, Muhamad Ilyas Mahazir, 14, menafikan perkara tersebut kepada ibunya kerana bimbang dimarahi.

"Doktor ada bertanya sama ada anak ada mandi di kawasan air terjun, namun apabila saya bertanya kepada dia, dia menafikan. Kami sekeluarga hanya mengetahui dia telah pergi mandi di pusat rekreasi Bukit Wang semalam.

"Saya dimaklumkan juga dia mandi di tempat itu pada hari raya kedua dengan rakan-rakannya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kedondong di sini, hari ini.

Sharimah berkata, dia berharap agar rakan-rakan anaknya yang turut sama mandi di kawasan rekreasi itu agar menjalani pemeriksaan di hospital kerana tidak mahu perkara sama berulang.

Beliau berkata, sebelum itu, anaknya hanya mengalami demam biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara sebelum dibawa anggota keluarga ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pagi Rabu lalu selepas mengalami batuk berdarah.

"Pada Ahad lalu, anak ada menghubungi saya (dari asrama) dan memaklumkan dia mengalami demam dan selepas habis kerja di Jitra saya terus bawa dia ke klinik untuk mengambil ubat demam dan pada hari Isnin dia sudah kembali sihat selepas memakan ubat.

"Keesokannya, saya ingin menghantar dia semula ke asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang namun dia tidak mahu pulang dan ingin menyambung lagi cuti sakitnya. Tetapi kira-kira pukul 3 pagi Rabu, dia kejut saya dari tidur dan memberitahu dia batuk berdarah," katanya.

Sharimah berkata, kira-kira jam 4.20 pagi, dia dan suaminya Mahazir Ramli, 47, terus membawa anaknya ke hospital dan doktor yang memeriksanya memberitahu anak disyaki terkena jangkitan kencing tikus.

Tambahnya, anak lelaki tunggalnya itu seorang yang baik, mendengar kata dan selalu menjadi imam dalam kalangan rakan-rakannya di asrama dan suka menyertai pertandingan azan di sekolah.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, mangsa mengalami pendarahan pada paru-paru serta mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan telah disahkan meninggal dunia pada 5.45 pagi.

Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kedondong kira-kira pukul 3 petang semalam.


0 comments:

share2