Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 21, 2016

PAS BAKAL TUMBANG DI KELANTAN ...

PAS Bakal Tumbang Di Kelantan Sebab....


KOTA BHARU – Ketika ini kecoh di Kelantan apabila terdengar cakap politik ‘kedai kopi’ bahawa kerajaan PAS yang memerintah sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1990 bakal tumbang.

Bahkan ada pula yang mendakwa parti Islam tersebut pada masa ini menguasai negeri Serambi Makkah itu dengan majoriti hanya 10 kerusi susulan kesan pemecatan ADUN Salor, Husam Musa daripada PAS pada 23 April lalu.



Khabarnya, bekas Naib Presiden PAS dan Exco kerajaan negeri itu berjaya ‘memujuk’ bersama-samanya enam lagi ADUN PAS lain secara senyap untuk belot menyertai musuh terbaharu mereka yang juga serpihan PAS iaitu PAN.

Ketika ini, kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyaksikan PAS memiliki 31 ADUN manakala seteru tradisinya, Barisan Nasional (BN) dengan 12 kerusi dan seorang wakil tunggal PKR di Guchil.

Memang PAS Kelantan ‘atas kertas’ ada kelebihan 17 kerusi, iaitu majoriti selesa untuk memerintah negeri itu tanpa mana-mana parti lain, namun pada PRU 2013 lalu, mereka ada mencatatkan kemenangan tipis di 13 kerusi.

Paling bermasalah di Jelawat dengan majoriti cuma 102 undi selain di Gaal (302), Gual Periok (615), Bukit Tuku (879 undi), Pulai Chondong (919), Wakaf Bharu (978), Tendong (978), Kemuning (1,034) dan Limbongan (1042).

Turut dianggap sebagai kawasan warna ‘kelabu’ bagi kepimpinan PAS ialah Mengkebang apabila calon parti itu sekadar menang dengan kelebihan 1,072 undi, Temangan (1,085), Kemahang (1,436) dan Perupok (1,488).

Ironinya, jika melihat kepada situasi semasa, PAS dijangka tumbang kepada BN bukan disebabkan kemunculan PAN, tetapi akibat sikap PAS sendiri yang dikatakan ‘agah’ atau dalam dialek Kelantan bermaksud sombong diri.

Parti serpihan UMNO itu bukan sahaja tidak mahu berkompromi membentuk kerajaan perpaduan dengan BN, malah mengamalkan sikap tidak matang apabila ‘baca’ situasi politik semasa jauh berbeza pasca PRU 2013.

Antara hangat diperkatakan ialah ia berpunca susulan ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS, allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mantan menteri besar dan cukup digeruni seterunya politiknya, UMNO lebih dua dekad.

Faktor pemecatan Husam hanya kerana menegur urus tadbir kerajaan negeri juga antara pemangkin kejatuhan PAS di Kelantan selaian masalah perpecahan dalaman parti itu seperti berlaku di Kedah, bahkan dikatakan lebih teruk.

Budaya ‘cas keting’ yang lazim dirujuk kepada BN Kelantan turut menimpa pula parti itu apabila bertindak tegas memecat mereka yang dianggap sebagai pro-Husam di semua syarikat milik kerajaan negeri dan PAS Kelantan.

Dalam pada itu beberapa isu luaran juga dimainkan antaranya tuntutan royalti minyak tidak agresif, projek lebuh raya gagal dilaksanakan, malah disaman RM230 juta selain isu pembayaran gaji Yayasan Islam Kelantan.

Isu lama termasuk tender pembalakan untuk kroni dan penempatan baharu mangsa banjir yang masih gagal diselesaikan oleh pihak kerajaan negeri susulan birokrasi pejabat tanah turut dibangkitkan rakyat bawahan.

Andai kata, PAS Kelantan tersungkur pada PRU ke-14 nanti, ia bukan disebabkan faktor kekuatan PAN, tetapi kerana kegagalan saf pimpinan PAS Pusat dan PAS Kelantan menangani isu-isu yang dinyatakan tersebut.

Untuk rekod PAS pernah memerintah negeri jirannya, Terengganu dan Kedah, namun ia hanya bertahan sepenggal akibat pelbagai isu domestik yang gagal ditangani dengan bijak oleh parti itu sendiri.





0 comments:

share2