Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 14, 2016

MUALAF BERTEDUH DI KEDAI TERBIAR


Mualaf berteduh di kedai terbiar


Kulai - Sepasang suami isteri mualaf yang memeluk agama Islam sejak tiga bulan lalu tekad memulakan hidup baru bagi membesarkan anak tunggal mereka berusia 8 tahun yang kini berada di pusat jagaan kanak-kanak.

Mariyam Abdullah, 41 dan Mohd Nur Imran Abdullah, 38, tinggal dalam serba kekurangan di sebuah unit lot kedai yang tidak digunakan di Taman Puteri Kulai, di sini sejak hampir lima tahun lalu kerana kesempitan wang.

Mariyam berkata, suaminya hanya bekerja seminggu sekali sebagai pemandu lori dengan upah RM80 sehari dengan upah tambahan membersihkan tapak pasar malam sebanyak RM30 semalam setiap minggu.

“Kami dah lama tinggal di sini kerana kesempitan wang. Kedai ni dah lama kosong dan terbiar.. jadi kami ubahsuai dengan menyusun almari terpakai untuk jadikan sebagai tempat tidur serta ruang memasak.

“Kami sering hidup dalam ketakutan kerana pintu hanya ditutup menggunakan papan nipis dan adakalanya tempat ini dipecah masuk orang tak dikenali.

“Keadaan hidup yang serba kekurangan menyebabkan kami terpaksa menempatkan anak tunggal kami di pusat jagaan sejak Mac lalu kerana bimbang mengenai keselamatannya,” katanya.

Bagaimanapun Mariyam berkata, dia serta suami berhasrat mengambil semula anak mereka dan berpindah dari tempat itu, namun tidak berpeluang kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya dan suami tidak mempunyai kenderaan, bergerak ke mana-mana dengan hanya berjalan kaki, malah kami juga tak dapat bergerak untuk menghadiri kelas agama bagi golongan mualaf kerana kesempitan wang untuk bayar tambang.

“Dengan gaji suami yang tak menentu kira-kira RM400 sebulan menyukarkan pergerakan kami untuk mencari peluang kerja baru yang lebih stabil,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Saudara Kita Jabatan Agama Islam Daerah Kulai, Norazila Masmin berkata, pihaknya telah menyewakan sebuah bilik untuk pasangan berkenaan agar mereka dapat berpindah buat sementara waktu.

“Jabatan Agama Islam daerah telah membayarkan deposit bilik sewa untuk pasangan ini berpindah, kemudian kita akan uruskan pernikahan mereka semula ikut perundangan Islam.

“Kita juga akan uruskan permohonan mereka mendapatkan bantuan bulanan dan bantu urusan pengambilan semula anak mereka,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon 15, Shahruddin Md Taib pula berkata, pihaknya akan turut membantu mencarikan peluang kerja bersesuaian untuk pasangan terbabit supaya keadaan kewangan mereka lebih stabil.


0 comments:

share2