Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 5, 2016

MENANG PADA HARI RAYA?



Tahun Baharu Cina adalah sambutan tukar kalendar kerana menyambut musim baharu, tahun baharu. Wesak dalam agama Buddhisme adalah sambutan kelahiran, nirvana dan kewafatan Gautama Buddha. Krismas adalah sambutan kelahiran Nabi Isa.

Apa makna Hari Raya Iedul Fitri (Aidilfitri)? Ia bukan sambutan kelahiran pengasas Islam atau sambutan pertukaran kalendar. Iedul Fitri adalah perkataan Arab. Ia bermakna “Fitrah Dikembalikan”. Hari Raya Aidilfitri bermakna hari di mana fitrah manusia dikembalikan.

Secara kasarnya, apakah fitrah yang dikembalikan? Sebelum Aidilfitri, umat Islam wajib berpuasa sebulan. Bulan ini dikenali sebagai Ramadan. Umat Islam berpuasa iaitu tidak makan dan tidak minum dari Subuh, lebih kurang 6 pagi ke Maghrib lebih kurang 7.30 petang.

Selain dari tidak boleh makan dan minum, suami isteri juga tidak dibenarkan bersetubuh semasa waktu puasa. Bersetubuh, makan, minum adalah fitrah manusia. Maka, adakah Aidilfitri merupakan perayaan meraikan hari fitrah dikembalikan seolah-olah ia menjadi pesta persetubuhan, makan dan minum?

Ini adalah anggapan mereka yang tidak faham roh Aidilfitri. Kita suka hidup dalam zon selesa. Apa yang kita mahu kita dapat. Zon selesa membuat kita tidak melihat dalam perspektif lain. Kita lupa ramai manusia yang mati kebuluran. Ramai manusia yang tidak kahwin.

Kita suka hidup biasa-biasa sahaja. Hidup ikut fitrah. Bila lapar, makan. Bila haus, minum. Bila nafsu seks bergelora, kita bersetubuh. Tetapi Islam didik bahawa kita bukan sekadar insan biasa. Apabila kita menjadi Muslim, kita menjadi luar biasa. Kita dilatih untuk kawal nafsu fitrah iaitu nafsu seks dan nafsu makan minum.

Walaupun ini fitrah, tapi kita tidak turutkan kehendaknya sewenang-wenangnya. Kita ditarbiahkan oleh Islam untuk tidak sujud kepada nafsu fitrah. Sujud hanya pada Tuhan.

Islam tarbiah kita agar jangan duduk dalam zon selesa. Siapa tak suka keselesaan tetapi Islam ajar bahawa jangan tertipu dengan keselesaan walaupun ia halal. Kita perlu hayati susah payah juga. Kalau hidup sekadar selesa sahaja, maknanya kita tidak menikmati kehidupan yang tulen.

Kehidupan yang tulen maksudnya menghadapi cabaran hidup, yang selesa dan sukar. Setiap kesusahan ada kesenangannya. Setiap kegagalan, ada kemenangannya. Setiap kelaparan, ada nikmatnya.

Maka, Aidilfitri adalah perayaan meraikan kemampuan kita untuk keluar dari zon selesa dan menghadapi kehidupan yang tulen. Ramadan adalah sebenarnya satu bulan tarbiah diri.

Aidilfitri adalah graduation day! Hari kemenangan! Kita menang bukan sekadar kalahkan musuh luar. Kita menang bukan kerana kalahkan Zionis atau musuh politik. Kita menang kerana kita menang kawal nafsu fitrah kita.

Roh kemenangan inilah yang kita nampak semakin pudar dalam kalangan umat Islam. Kemenangan bagi kita sekarang ialah menang kalahkan musuh politik. Bahkan kita raikan kemenangan politik kita dengan cara yang licik, dengan memfitnah musuh kita.

Kemenangan kita sekarang ialah kemenangan membuli golongan minoriti yang tidak setuju dengan kita.

Kita rasa menang bila berjaya melabel seseorang itu liberal atau ahli bidaah atau wahabi atau kafir harbi. Kejayaan melabel dan menggunakan kuasa untuk menindas adalah dianggap kemenangan kita yang sejati.

Tetapi akhlak kita tiada perubahan langsung selepas sebulan tarbiah. Mindset kita sama seratus peratus seperti mindset sebelum Ramadan. Kita adalah kita seperti biasa. Tiada yang luar biasa. Inilah umat kita sekarang. Sekadar biasa. Tiada yang luar biasa, yang pelik, yang ganjil.

Islam bermula sebagai agama yang pelik dan akan kembali menjadi agama yang pelik. Nabi SAW berkata berilah khabar gembira kepada umatnya yang pelik, luar biasa.

Inilah sebenarnya umat yang benar-benar faham dan mencapai kemenangan. Inilah umat yang menang Perang Badar, bukan umat yang menang mulut dan menang label melabel.

Selamat Menyambut Hari Kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak


0 comments:

share2