GEORGE TOWN – Seperti sudah jadi kelaziman pembangkang apabila gagal melaksanakan sesuatu yang diinginkan, maka pelbagai alasan diberi termasuk menyalahkan pihak tertentu tiada kaitan.
Ini termasuklah mendakwa kononnya ada maklumat sulit pakatan pembangkang dibocorkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga berjaya ‘menggagalkan’ rancangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu didedahkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sidang media khas di pejabatnya di tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini petang Rabu yang malah terlewat lebih dua jam daripada dijadualkan asalnya.
“Nampaknya ada orang yang sudah membocorkan maklumat rahsia,” kata Setiausaha Agung DAP itu sekali gus mengumumkan bahawa tiada pembubaran DUN sebagaimana dihebohkan media propembangkang sendiri.
Jika dipandang dari segi logik, jika beres dan tidak ada masalah sudah tentu Guan Eng akan ceria memaklumkan pilihan raya negeri (PRN) secara mengejut bakal diadakan untuk Pulau Pinang ketika sidang akhbar tersebut.
Itulah yang menjadi jangkaan asal semua wartawan yang terpaksa menunggu lama untuk sidang media itu yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Malah spekulasi hangat sudah tersebar bahawa Guan Eng menemui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas di Seri Mutiara untuk mengemukakan cadangan pembubaran DUN untuk membolehkan PRN dibuat.
Malangnya daripada asal sidang akhbar itu dijadualkan jam 2 petang, tetapi ‘tunggu punya tunggu’ hampir pukul 4 petang baharulah ia berlangsung, sekali gus membuktikan ada sesuatu yang tidak kena namun cuba disorok senyap.
Sekadar rekod, Abdul Rahman secara kebetulan pula memiliki jadual rasmi yang padat sepanjang hari termasuk merasmikan kumpulan pertama bas dua tingkat Rapid Penang milik Syarikat Prasarana Negara Berhad di sini.
Waima Guan Eng melemparkan senyuman kepada wartawan, bagaimanapun daripada raut wajahnya, selain Azmin, Nurul Izzah serta beberapa pemimpin DAP dan PKR lain di situ jelas ada yang masih lagi belum beres dengan baik.
Intipati sidang akhbar tersebut ialah Ketua Menteri itu memberitahu belum ada keputusan dicapai mengenai PRN secara ‘kilat’ yang dicadangkan oleh DAP demi mengalihkan isu perbicaraan kes rasuah dihadapi beliau ketika ini.
Guan Eng bahkan memberi alasan konon bahawa Jawatankuasa Pusat DAP memutuskan untuk terlebih dahulu mendapatkan pandangan rakan Pakatan Harapan yakni PKR dan PAN mengenai cadangan PRN yang mengejut itu.
Katanya lagi, DAP tidak akan membuat keputusan secara bersendirian dan apa-apa keputusan, ia mesti konsensus. Ditanya sampai bilakah keputusan hendak dibuat, beliau hanya berkata: “Sehingga keputusan dicapai.”
Percanggahan dalam kalangan DAP-PKR-PAN sendiri mengenai keperluan mengadakan PRN secara mengejut itu jelas dirasai apabila Guan Eng berkata pada Isnin lalu beliau sudah bincang dengan Presiden PAN, Mohamad Sabu.
Manakala di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor lewat Selasa, Guan Eng mendakwa konon sudah bersemuka dengan pimpinan PKR Pusat bagi memperjelaskan rasional kewajaran mahu diadakan PRN khas di Pulau Pinang.
Mesyuarat Biro Politik PKR bagaimanapun memutuskan parti itu ‘belum diyakinkan lagi’ mengenai keperluan PRN mengejut di Pulau Mutiara sekali gus memberi isyarat ‘tamparan’ yang begitu kuat kepada imej Guan Eng sendiri.
Hari ini pula Azmin dan Nurul Izzah terpaksa ‘turun’ ke pejabat Guan Eng di sini untuk bincang selanjutnya. Ini menguatkan spekulasi bahawa PRN tidak mungkin dibuat dalam masa terdekat berdasarkan pelbagai faktor semasa.
Kata orang, jika tidak penting sangat PKR hendak menyampaikan sendiri pendirian parti tersebut, tidak mungkin Azmin diarahkan Presidennya, Wan Azizah Wan Ismail kena turun ke Pulau Pinang sendiri untuk jumpa Guan Eng.
DAP dikatakan hendak sangat adakan PRN mengejut itu untuk ‘tunjuk kuasa’ bagi melindungi Guan Eng yang akan dibicarakan kerana kes rasuah berkaitan banglo yang dibelinya dan kes tukar syarat tanah.
0 comments:
Post a Comment