Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 28, 2016

KAK WOK VS NASI KANDAR


Nasi Kak Wok vs Nasi Kandar


Masih dalam suasana raya – ada lima hari lagi – saya ingin bercakap mengenai makan. Bukan makan-makan di rumah terbuka Aidilfitri, tetapi menjamu selera di restoran dan gerai-gerai pilihan ramai.

Orang kita selalu memilih makanan mengikut jenama. Contoh: kalau hendak menikmati ayam goreng sebenar, ada jenama KFC. Sekiranya teringin burger, antara pilihan utama ialah McDonald’s.

Ada sekian banyak jenama makanan dan minuman dari luar, terutama dari AS, yang bukan sahaja menjadi pilihan popular, malah sudah dianggap sebagai gaya hidup dalam kalangan remaja.

Apa pun generasi emas seperti saya tidak tertarik pada jenama-jenama import. Kita lebih meminati makanan atau resipi tradisional. Kita suka nasi minyak, nasi beriani, nasi lemak, sate, tose, char kuetiau.

Untuk makanan ringan, saya tidak gemar, dan tidak pernah terliur pada kentang goreng jenama Amerika atau piza, tidak juga nuget. Almaklumlah, tekak saya lebih sesuai dengan keropok lekor, cekodok, lempeng, tempe goreng, tauhu sumbat.

Sesetengah makanan istimewa dikaitkan dengan tempat-tempat tertentu. Contoh: kalau hendak mi bandung paling sedap datanglah ke Muar. Maka Mi Bandung Muar menjadi satu jenama.

Jenama dari selatan itu diniagakan di seluruh negara. Mi Bandung Muar ada di Ipoh, Alur Setar, juga di bandar-bandar utama Pantai Timur. Di KL ada beberapa tempat makan eksklusif dan banyak gerai pasar malam menawarkan mi bandung berkenaan.

Tetapi tidak semua mempunyai rasa ori mi bandung sebenar seperti yang terdapat di bandar Maharani. Nama sahaja Mi Bandung Muar, tetapi rasanya lari jauh – ada rasa mi rebus, ada rasa mi Jawa. Ini merosakkan jenama asal dari Johor.

Sejak kecil saya telah biasa dengan mi bandung di bandar itu. Salah satu cirinya ialah telur mentah dimasukkan ketika mi sedang panas menggelegak. Jadi sekiranya ada telur rebus, atau lebih teruk lagi telur goreng, itu pasti bukan mi bandung ori.

Satu ketika dulu Kajang terkenal dengan sate. Maka Sate Kajang dipromosikan sebagai daya penarik di seluruh negara. Kalau ada 10 gerai sate di Jalan Chow Kit Kuala Lumpur, sembilan akan mendakwa sebagai Sate Kajang.

Sana-sini Sate Kajang, tetapi hanya mereka yang biasa dengan sate tulen saja yang faham sama ada yang diiklankan dan diuar-uarkan sebagai Sate Kajang itu betul-betul jenama ori. Mungkin banyak yang auta.

Di pasar malam KL banyak orang menjual keropok lekor. Kalau ditanya kepada penjual mesti dijawab: “Keropok lekor dari Losong, Terengganu.” Tetapi orang negeri Penyu boleh tahu sama ada itu betul-betul dari Losong. Orang meniaga, keropok pun dia boleh autakan.

Sama juga halnya dengan Nasi Kak Wok yang kini selalu dipamerkan sebagai tarikan di banyak restoran dan gerai di KL dan Shah Alam. Sepuluh tahun dulu, ketika mula menerbitkan Sinar Harian di Kota Bharu, Kelantan, saya mula diperkenalkan dengan Nasi Kak Wok.

Nasi putih dibungkus, dengan hanya dua lauk pilihan, sama ada ayam goreng atau ayam kari. Ada sedikit timun, dan paling istimewa sedikit sambal. Amat sederhana, harganya hanya RM1.50. Tetapi rasanya memang sedap, dan bau kuahnya melekat di jari sehingga waktu Asar.

Di sebuah restoran di Shah Alam, orang berbaris panjang sejak pagi, lebih-lebih lagi menjelang tengah hari, untuk membeli Nasi Kak Wok yang resipinya sama seperti di Kelantan. Harganya RM5, rasanya boleh tahan.

Tetapi baik yang di KL atau Shah Alam tidak sama dengan di Kota Bharu. Sudah banyak kali saya masuk di restoran dan gerai yang menawarkan Nasi Kak Wok, setakat ini belum saya temui rasa ori seperti yang di Serambi Makkah.

Kesimpulannya, kalau hendak Kak Wok tulen, datanglah ke Kota Bharu, Kelantan. Barulah ‘SKMK’ – ‘Sampai Kelantan Mesti Kakwok’.

Nasi Kandar Penang pun disebarkan sebagai satu jenama di seluruh negara. Semua mendakwa sebagai resipi asli dari Pulau Pinang. Di KL ada beberapa restoran yang menawarkan nasi kandar ori – paling saya suka Kudu, dan Yaseen di Jalan Tunku Abdul Rahman. Tetapi, banyak juga yang auta.

Maka terkejut saya apabila bercuti raya baru-baru ini, sebuah restoran India Muslim di bandar Muar pun mempromosi ‘Nasi Kandar Penang’, dengan dakwaan tambahan ‘rempah asli dari Pulau Pinang’.

Tetapi saya tidak tertarik sedikit pun. Belum apa-apa sudah terasa diperdaya apabila melihat salah satu lauk-pauk yang ditawarkan ialah tempe goreng. Mana ada nasi kandar dimakan dengan tempe!


0 comments:

share2