Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 19, 2016

[JERANTUT] PENDUDUK GESA SEDIAKAN PILI BOMBA


Penduduk gesa sediakan pili bomba


SUNGAI RETANG - Susulan kebakaran sebuah rumah peneroka di tanah rancangan ini kira-kira jam 10.30 malam, Sabtu lalu, penduduk menggesa pihak berwajib supaya segera menyediakan pili bomba di kawasan berkenaan bagi memudahkan tindakan mengawal kebakaran.

Penduduk mendakwa, rumah mereka terdedah kepada risiko keselamatan dan kemusnahan sekiranya berlaku kebakaran disebabkan tiada pili bomba.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Sungai Retang, Suran Jaafar berkata, pihak berkaitan perlu beri perhatian terhadap isu itu dengan menyegerakan pemasangan pili bomba di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tanah rancangan itu sekian lama menubuhkan pasukan bomba sukarela yang dilengkapi dengan jentera dan peralatan mengawal kebakaran.

“Seperti kejadian kelmarin (Sabtu lalu), bomba sukarela di sini sudah bersiap sedia dengan peralatan mengawal kebakaran, namun malangnya tiada pili bomba berdekatan menyebabkan kerja mengawal kebakaran menjadi terhad kerana terpaksa menggunakan air dari rumah penduduk.

“Memang ada disediakan pili bomba, tapi hanya di tempat tertentu seperti sekolah, kedai Mara dan premis lain namun di kawasan penempatan penduduk tidak disediakan,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Suran berkata, terdapat banyak kes kebakaran kediaman di tanah rancangan gagal diselamatkan kerana ketiadaan pili bomba, terutama bagi tanah rancangan yang jauh dari balai bomba dan penyelamat.

Katanya, kebakaran itu perlu dijadikan iktibar kepada pihak berwajib terhadap keperluan pemasangan pili bomba di kawasan itu dengan kadar segera.

“Tiada gunanya ditubuhkan pasukan bomba sukarela dilengkapi dengan segala peralatan dan jentera sekiranya tiada sumber air yang menjadi elemen utama dalam mengawal kebakaran.

“Saya telah mengutarakan perkara ini kepada pihak atasan justeru berharap tindakan sewajarnya diambil demi menjaga keselamatan penduduk tanah rancangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Ahli Parlimen, Ahmad Nazlan Idris mengunjungi mangsa kebakaran, Basir Muhd Yusof, 29 yang menyewa rumah Abdul Rashid Hassan, 65.

Sementara Ahmad Nazlan berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada Felda mengenai pemasangan pili bomba. 

“Kita akan maklumkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Jerantut dan bekerjasama dengan pengurusan Felda mengenai pemasangan pili bomba dan kemudahan logistik tertentu.

“Usaha ini amat penting untuk menyelamatkan harta benda selain mengelakkan ancaman nyawa sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Bagi Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Abdul Malib Abdul Rani, Felda akan mengeluarkan peruntukan bernilai RM40,000 di bawah Skim Pinjaman Pembesaran Rumah Peneroka kepada pemilik berkenaan supaya dapat membina kediaman itu semula.

“Pemilik ini layak memohon menyertai skim berkenaan supaya memperoleh kediaman baharu lebih selesa, manakala pemotongan kembali pinjaman akan dibuat berasaskan prosedur biasa,” katanya.

Katanya, sehingga pertengahan tahun ini sebanyak 20 peneroka kawasan Wilayah Jengka membuat pinjaman di bawah skim berkenaan untuk membesarkan kediaman masing-masing.




0 comments:

share2