Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 22, 2016

ILMUWAN DISEKAT, SI JAHIL DIANGKAT


bijak


Antara musibah yang menimpa umat ialah apabila hilangnya golongan ulama. Ulama yang ikhlas mendidik dan membimbing umat untuk hidup di atas jalan agama yang tulen. Ulama ialah sumber ilmu. Apabila hilang ulama, maka hilanglah sumber ilmu yang mengungkai khazanah al-Quran dan sunnah.

Ulama wafat, ilmu dicabut

Inilah petanda ilmu dicabut daripada umat. 'Abdullah bin 'Amr bin Al-'Ash RA berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba, akan tetapi ALLAH mencabut ilmu dengan mewafatkan ulama, sehingga ketika tidak tersisa lagi seorang alim, manusia akan menjadikan orang bodoh sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan memberikan fatwa tanpa ilmu, mereka sesat lagi menyesatkan orang lain." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Imam Nawawi RHM mengulas: "Hadis ini menjelaskan yang dimaksudkan dengan mencabut ilmu dalam hadis terdahulu yang mutlak bukan menghapusnya daripada hati penghafalnya, akan tetapi maknanya adalah pembawanya meninggal, dan manusia menjadikan orang-orang bodoh sebagai pemutus hukum yang memberikan hukuman dengan kebodohan mereka, sehingga mereka sesat dan menyesatkan." (Al-Nawawi, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bierut: Dar al-Ma'rifah, 16/441)

Apabila ulama hilang, yang tinggal adalah orang jahil. Apabila ilmu dicabut, yang tersebar adalah kejahilan dan kebodohan. Inilah juga petanda kepada hari kiamat. Dalam hadis lain, Bukhari meriwayatkan dari Syaqiq, beliau berkata: "Aku pernah bersama 'Abdullah dan Abu Musa, keduanya berkata: "Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya menjelang datangnya hari kiamat akan ada hari-hari di mana berlakunya kebodohan dan ilmu dihilangkan." (Riwayat Bukhari)

Fatwa si jahil

Kejahilan dan kebodohan akan melata. Ilmu pula akan terus lenyap bersama wafatnya ulama. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu memahami al-Quran dan sunnah. Inilah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Ulama pula ialah pewaris nabi. Apabila ulama yang mewarisi al-Quran dan sunnah telah hilang, maka tersebarlah bidaah dan kejahilan.

Lalu, yang akan diangkat dan dirujuk ialah mereka yang jahil mengenai agama tetapi mahu bercakap perihal agama. Maka, akan berlakulah apa yang Rasulullah SAW ingatkan: "...Maka manusia akan menjadikan orang bodoh sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan memberikan fatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain."

Imam Al-Zahabi memberikan satu ulasan yang sepatutnya menimbulkan kebimbangan dalam diri kita. Kata beliau: "Dan mereka tidak diberikan ilmu kecuali sedikit saja. Adapun sekarang, maka tidak tersisa daripada ilmu yang sedikit itu kecuali sedikit saja pada sedikit manusia, sungguh sedikit dari mereka yang mengamalkan ilmu yang sedikit tersebut, maka cukuplah ALLAH sebagai penolong bagi kita." (Al-Zahabi, Tazkirat Al-Huffaz)

Ulasan ini beliau lontarkan ketika zaman beliau. Beliau wafat pada 748H. Bagaimana pula dengan zaman kita sekarang? Semakin jauh kita dengan zaman Nabi SAW, semakin berkuranglah ilmu. Tokoh ulama yang hebat hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Ilmuwan dimatikan

Satu lagi musibah menimpa umat ialah apabila golongan ilmuwan dimatikan sebelum kematiannya yang sebenar. Maksudnya, peranan ilmuwan tersebut disekat dan dihalang. Ilmu yang mereka miliki tidak dibenarkan untuk disebarkan kepada masyarakat dengan alasan tidak munasabah.

Inilah satu kepelikan dan keanehan. Dari sudut lain, anak-anak disuruh supaya belajar rajin-rajin, menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi, tetapi apabila mereka sudah berjaya, belajar hingga ke luar negeri, pulang dengan ijazah PhD, lalu tidak dibenarkan untuk berkongsi apa yang dipelajari. Apa sudah jadi?!

Musibah ini berlaku kebiasaannya kepada mereka yang mempelajari ilmu agama. Ilmuwan agama ada yang disekat dan dihalang untuk mengajar masyarakat oleh 'orang agama' sendiri. Alasannya ialah mereka tidak mendapat pengiktirafan.

Ini lagi satu kepelikan. Bayangkan jika seseorang yang mengikuti sistem pembelajaran yang diiktiraf, di universiti yang diiktiraf, membuat kajian, menulis tesis, dinilai oleh profesor sehingga layak dianugerahkan ijazah PhD, lalu apabila beliau ingin berkongsi ilmu yang dipelajari, dihalang dan disekat.

Aduh...Pening kepala!

Akhirnya, apabila mereka yang berkeahlian dalam bidang agama, dihalang untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, masyarakat pula dilarang untuk menjemput mereka untuk mengajar, akan timbullah mereka yang bukan ahli dalam bidang tersebut memberikan pendapat.

Kadang-kadang seakan-akan mereka yang bukan dalam bidang agama lebih bebas untuk bercakap perihal agama berbanding guru, pensyarah dan ilmuwan agama sendiri. Menjadi penyanyi, pelakon, pelawak, penglipur lara, motivator dan sebagainya dilihat lebih bebas untuk bercakap soal agama tanpa dipersoalkan adakah mereka mendapat pengiktirafan yang rasmi atau pun tidak.

Bertambah pelik lagi ialah apabila mereka yang memakai gelaran agama, lalu menyebarkan seribu satu kisah-kisah karut, hadis-hadis palsu, petua-petua khurafat, amalan-amalan bidaah, dibenarkan untuk mengajar masyarakat. Mereka seperti ini diiktiraf pula. Aduh...Pening kepala!

Munculnya Ruwaibidhah

Bimbang dan merisaukan. Apabila mereka yang tidak berkeahlian dalam bidang agama, dibiarkan bercakap mengenai agama dalam keadaan mereka tidak menguasai disiplin-disiplin ilmu tertentu, maka ilmu agama yang mereka sebarkan akan terpalit dengan kekarutan, kepalsuan dan kejumudan.

Apabila ilmuwan yang menguasai bidang agama disekat, orang yang tidak layak pula dibiarkan bercakap, mungkin inilah kerisauan yang Rasulullah SAW ingatkan. Abu Hurairah RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dianggap benar sedangkan orang yang benar dianggap dusta. Pengkhianat dipercayai sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara."

Ada yang bertanya: "Apa yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?" Baginda SAW menjawab: "Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas." (Riwayat Ibnu Majah, disahihkan Al-Albani dalam As-Shahihah (1887))

Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyah RHM berkata: "Seseorang pernah melihat Rabi'ah bin Abi Abd al-Rahman sedang menangis, dia bertanya: "Apa yang membuatmu menangis?" Beliau menjawab: "Aku menangis kerana orang yang tidak berilmu telah diminta fatwa, dan muncul dalam Islam perkara besar, dan sebahagian orang yang berfatwa di sini lebih layak di penjara berbanding pencuri."

Berkata sebahagian ulama: "Maka bagaimana lagi jika Rabi'ah melihat zaman kita, dan terkedepannya orang yang tidak memiliki ilmu untuk berfatwa , melompat ke dalamnya, memaksakan diri untuk masuk kepadanya, mendakinya dengan kebodohan dan kelancangan atasnya. Padahal, sedikit pengalamannya, jelik jalan hidupnya, kotor hatinya, dan tidak dikenal atau asing di tengah ulama, serta tidak memiliki pengetahuan terhadap kitab dan sunnah serta athar-athar salaf, dan tidak pula memberikan jawapan dengan baik." (Al-Jauziyah, Ibn Qayyim, I'lam Al-Muwaqqi'in, Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, 4/159)

Beginilah yang akan terjadi apabila ilmuwan disekat, si jahil diangkat lalu meraba-rabalah umat mencari jalan pulang ke akhirat.

USTAZ ABDUL RAZAK MUTHALIB

Penulis ialah Jurulatih Kanan, Akademi Magnet Sukses.

Graduan Ijazah Sarjana, Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM


0 comments:

share2