Kuala Terengganu - Seorang bapa kepada dua anak yang maut dalam kemalangan dua tahun lepas, hari ini menerima pampasan insurans dari Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM11,401.60.
Rusli Ismail, 49, bapa kepada Allahyarham Mohd Asyraf, 18, dan Muhammad Hisyamuddin, 14, berkata beliau berterima kasih kepada BSN yang menyerahkan pampasan itu walaupun setelah dua tahun kemalangan tersebut berlaku.
Beliau berkata, pampasan berkenaan adalah bagi Allahyarham Muhammad Hisyamuddin yang sebelum kemalangan itu, gigih membuat tabungan bersama BSN Smart Junior (BSJ).
"Semasa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, saya telah menasihati arwah supaya berjimat cermat dan dia membuat simpanan di bawah program BSJ sebanyak RM800 secara beransur-ansur.
"Saya tidak sangka pula simpanannya yang sedikit itu telah memperoleh pampasan yang begitu besar. Pampasan ini akan saya gunakan untuk melakukan upah haji bagi kedua-dua anak saya itu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan pampasan berkenaan yang disampaikan Pengarah Perniagaan Negeri BSN Terengganu Azman Mohamad pada program Karnival Sekolah BSN 2016 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Wei Sin di sini semalam.
Mengimbas kembali kejadian tersebut, Rusli yang juga peniaga kedai runcit berkata dua anaknya itu maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangi bertembung dengan motosikal yang dinaiki warga asing yang tidak berlampu pada pukul 10.30 malam 17 April 2014.
"Akibat kemalangan itu, kedua-duanya cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu tidak lama selepas menerima rawatan," katanya.
Sementara itu, Azman berkata BSJ yang dulunya dikenali sebagai Kelab Penabung Muda adalah kelab simpanan untuk pelajar sekolah seawal usia tujuh hingga 21 tahun, di mana pelajar hanya perlu membuka akaun dengan simpanan minimum RM150 untuk menjadi ahli BSJ.
Katanya di bawah skim itu, setiap ahli diberi perlindungan insurans kemalangan berkelompok 24 jam termasuk belanja pengurusan pengebumian sebanyak RM3,000.
Beliau berkata sehingga 31 Disember 2015, BSJ mencatatkan lebih 267,000 ahli dengan jumlah simpanan melebihi RM300 juta.
Mengenai Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) yang merupakan pertandingan simpanan khusus untuk pelajar sekolah di negara ini, BSN telah melakukan beberapa penambahbaikan pada 2015, antaranya menambah jumlah keseluruhan hadiah wang tunai dan menambah bilangan hadiah kepada pelajar yang mengambil bahagian.
Azman berkata lebih RM581 juta simpanan dicatatkan tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding 2014.
Katanya penyertaan pelajar turut meningkat kepada 961,000 orang berbanding 800,000 pada tahun sebelumnya manakala penyertaan sekolah bertambah kepada lebih 7,300 di seluruh negara.
0 comments:
Post a Comment