Kuala Lumpur - Penghuni di kira-kira 100 kediaman terjejas banjir lumpur di Taman Sri Rampai menuntut pampasan ganti rugi kerana apa yang didakwa sebagai unsur kecuaian daripada projek naik taraf jalan berhampiran sehingga menyebabkan kejadian berkenaan Rabu lalu.
Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Rampai, Chong Kong Ming berkata, kejadian banjir lumpur terbabit adalah yang terburuk pernah berlaku sejak 30 tahun kawasan itu didiami.
Menurutnya, longkang yang dipenuhi tanah sejak projek itu dilaksanakan menjadi punca air hujan tidak dapat mengalir dengan baik seterusnya mengakibatkan kehidupan penduduk di situ terjejas.
“Perabot dan barangan elektrik saya juga rosak. Saya kerugian kira-kira RM20,000.
“Setiap rumah alami kerugian secara puratanya sekurang-kurangnya RM10,000. Jadi jumlah kerugian terlibat kira-kira RM1 juta,” katanya.
Maneh Sharif, 59, berkata, rumahnya antara yang paling teruk terjejas kerana terletak bersebelahan tapak projek.
Katanya, laporan polis dibuat tahun lalu berikutan limpahan air dari tebing tapak projek berkenaan.
“Kejadian kedua pada Mac lalu, dan laporan polis juga dibuat. Kali ketiga berlaku bertambah teruk sehingga air lumpur naik hingga paras lutut. Kereta, motosikal dan perkakas dalam rumah juga terjejas.
“Jadi saya menuntut ganti rugi dan mahu pihak berkenaan bertanggungjawab. Saya juga mahu jaminan keselamatan dan penyelenggaraan berterusan agar kejadian tidak berulang,” katanya.
Mohon bina tembok kekal
Terdahulu, berlangsung sesi dialog bersama wakil kontraktor projek dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang dihadiri kira-kira 50 penduduk Taman Sri Rampai.
Ketika sesi berkenaan, penduduk mahu masalah itu diatasi dengan membersihkan longkang segera.
Isu pampasan turut dibangkitkan, bagaimanapun difahamkan penduduk diminta menghantar laporan kepada kontraktor untuk dirujuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sebelum keputusan dibuat.
Penduduk juga menuntut penyelesaian jangka panjang dengan pembinaan tembok kekal dan jaminan keselamatan tebing ketika ini.
Bersih longkang
Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, kini kerja-kerja pembersihan longkang yang dipenuhi tanah giat dijalankan.
Beliau berkata, satu perjumpaan akan diatur bersama penduduk dan DBKL untuk penyelesaian beberapa isu.
“Saya minta kontraktor dan DBKL melihat apa bentuk pampasan yang boleh diberi kepada mereka yang terlibat kerana penduduk membuat laporan polis tentang kerosakan dialami,” katanya.
0 comments:
Post a Comment