Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 20, 2016

[KUANTAN] TUNKU AZIZAH RAI KELUARGA ASNAF


Tunku Azizah rai keluarga asnaf


Seramai 165 orang keluarga asnaf sekitar daerah Kuantan dan Pekan dirai dalam majlis berbuka puasa bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di McDonald’s Indera Mahkota di sini, semalam.

Majlis anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan UMP Advanced Education turut menyampaikan sumbangan berbentuk makanan, keperluan harian dan pakaian kepada 30 keluarga yang kurang berkemampuan ini.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP mengambil inisiatif mendekati masyarakat dalam Program Jejak Asnaf Fakir Miskin yang dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan dalam menjalani kesempitan kehidupan seharian ketika umat Islam berpuasa di bulan Ramadan.

“Program Jejak Asnaf Fakir Miskin memberi peluang warga UMP untuk turun padang menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti bantuan bekalan makanan, keperluan rumah dan sumbangan baju raya untuk mereka merasai kegembiraan menjelang Syawal nanti.

“Usaha ini merupakan salah satu program yang dijalankan dalam usaha mendekati penduduk sekitar dalam membangunkan komuniti setempat yang mana universiti turut memberi tumpuan terhadap program komuniti, kemasyarakatan dan juga kesukarelawan,” katanya.

Dr Daing berkata, program My Gift UMP merupakan satu inisiatif mengumpul sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menyalurkan sumbangan endowmen atau tabung bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar mahupun membudayakan semangat membantu golongan memerlukan.

Selain itu, sepanjang Ramadan ini juga, UMP turut menganjurkan program Jelajah Ramadan Asian 2016 yang memberi peluang kepada pelajar UMP merasa pengalaman bersahur, berpuasa dan berbuka bersama anak-anak yatim di Rumah Kebajikan Nurul Dayah di Aceh, Indonesia.


0 comments:

share2