Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 27, 2016

[KUANTAN] SYAHDU DENGAR AZAN


Syahdu dengar azan


“Entah mengapa tiba-tiba hati saya rasa syahdu dan sedih ketika mendengar laungan azan Zohor pada Mei tahun lalu.

“Azan yang berkumandang pada hari itu benar-benar menyentuh hati dan perasaan saya, padahal setiap hari saya mendengarnya,” kata saudara baharu, Muhammad Harman Abdullah, 20.

Remaja Orang Asli dari Kampung Air Tawas, Muar, Johor itu mengambil keputusan memeluk Islam Mei tahun lalu selepas peristiwa tersebut.

Katanya, dia tertarik dengan Islam sejak berumur 12 tahun namun dihalang keluarganya.

Bagaimanapun sejak terdengar azan Zohor tahun lalu, dia tekad memeluk Islam.

Menceritakan pengalaman berpuasa kali pertama tahun lalu, Muhammad Harman mengakui dia hanya mampu berpuasa selama tiga minggu sahaja kerana tidak tahan lapar.

“Tahun ini, saya berazam untuk berpuasa penuh dan dengan ilmu yang saya belajar membangkitkan semangat untuk berpuasa, mengaji dan belajar agama,” katanya.

Dia yang kini mengikuti pengajian dalam Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (Petama), di sini berkata, Ramadan kali ini ujian tahun keduanya menunaikan ibadat puasa yang menguji tahap keimanan sebagai umat Islam, lapar dan dahaga antara dugaan perlu diharungi dengan penuh sabar.

Katanya, dia bersyukur selepas 18 hari berpuasa semangat Muslim yang ada dalam diri ini semakin menebal, malah sokongan rakan-rakan dan guru turut menguatkan lagi keyakinan terhadap Islam.

Muhammad Harman yang berasal dari suku Temuan berkata, dua kakaknya juga kini memeluk Islam sementara ibu dan bapanya serta 11 adik beradik lain masih dengan kepercayaan nenek moyang mereka.

Sementara itu, Sofea Husien, 16, dari Kampung Langkap Bukit Ibam, Rompin, dia mengalami pelbagai masalah kesihatan ketika kali pertama berpuasa tahun lalu seperti pening kepala dan hampir pitam akibat terlalu lapar serta dahaga.

Katanya, bagaimanapun Ramadan kali ini berbeza kerana dia tidak banyak menghadapi masalah, kecuali mengantuk dan sedikit penat.

“Saya bersyukur dengan keimanan yang terbit selepas belajar di Petama, menambahkan lagi semangat ini dalam mengharungi cabaran sebagai umat Islam,” katanya yang berketurunan suku Jakun.

Bagi Mohd Hadi Jamal, 21, pula, dia tertarik memeluk agama Islam kerana mahu membayar zakat fitrah.

“Saya seronok melihat orang Islam puasa dan membayar zakat, dari situ saya mahu menjadi seorang Islam dan melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam untuk puasa, bayar zakat, solat dan sebagainya.

“Tahun lepas, saya peluk Islam semasa bulan puasa dan akhirnya boleh membayar zakat. Itulah pengalaman paling manis berlaku dalam hidup saya,” kata pemuda suku Semai dari Pos Terisu, Cameron Highlands itu.


0 comments:

share2