Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 7, 2016

[KUALA TRIANG] PULANGAN BERBALOI, LUMAYAN


Pulangan berbaloi, lumayan


“Saya terpaksa bersembunyi atau melarikan diri pada hari raya pertama hanya kerana orang ramai mahu beli bekalan ikan patin. Saya dan keluarga pun nak beraya juga, tapi orang sanggup cari sampai ke rumah,” kata pengusaha ikan sangkar, Azmi Md Yaman, 42.

Itu antara pengalaman yang pernah dialaminya yang mengusahakan projek ternakan ikan air tawar di Sungai Pahang, di sini.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya mengusahakan dua sangkar manakala keseluruhan sangkar yang ada di kampung itu pula kira-kira 120 buah, diusahakan secara individu.

Sehinggalah timbul idea mewujudkan projek lebih besar apabila melihat ramai dalam kalangan generasi baharu kampung tradisional itu berminat menjadi pengusaha ikan sangkar yang ternyata menjanjikan pendapatan lumayan.

Tak jemu di sangkar

Azmi yang juga Pengerusi Persatuan Ikan Air Tawar (Piat) Kuala Triang berkata, seharian berada di rumah sangkar ikan atau pusat pengumpulan ikan air tawar tidak pernah menjemukan malah ia kepuasan apabila melihat hasil ternakan mereka sentiasa mendapat permintaan orang ramai.

Dia sendiri pernah memohon cuti tanpa gaji selama tiga bulan semata-mata untuk menguruskan projek itu berikutan mendapat permintaan yang tinggi daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, bukan sahaja dalam kalangan orang tempatan tetapi juga peniaga kedai makanan atau bazar Ramadan yang sentiasa memerlukan bekalan ikan patin terutamanya sepanjang Ramadan ini.

Kesungguhan pengusaha termasuk ahli Piat yang menguruskan projek ini sekarang membuahkan hasil apabila bilangan sangkar bertambah sehingga 450 buah.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya 2,000 kilogram ikan patin dikeluarkan dan dipasarkan dalam tempoh sebulan dengan keuntungan kasar mencecah hampir RM25,000.

“Minat generasi baharu kampung tradisional ini lebih ke arah penternakan ikan sangkar yang dilihat mampu memberikan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

“Lagipun, sekarang ini harga sawit dan getah jatuh merudum menyebabkan golongan muda tidak berminat bekerja dalam bidang itu, tetapi memilih untuk menguruskan projek ikan sangkar ini kerana permintaannya tidak pernah putus,” katanya.

Semasa wartawan Sinar Harian ke Pusat Pengumpulan Ikan Piat, baru-baru ini, sebahagian ahli Piat bertungkus lumus menyiang dan membersihkan ikan patin yang ditempah pihak Masjid Kuala Triang untuk kenduri tahlil dan menyambut Ramadan.

Difahamkan, permintaan meningkat sekali ganda sepanjang Ramadan dan sekurang-kurangnya Piat mempunyai stok bekalan yang mencukupi kira-kira sebanyak 20 tan bagi menampung keperluan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Syawal nanti.

Dapat bantuan Tekun

Seorang ahli Piat, Harmizan Hasan, 42, berkata, selain bersama Piat, dia turut mempunyai lapan sangkar dan semua hasil ternakan dihantar ke Pusat Pengumpulan Ikan Piat.

Menurutnya, berjinak-jinak dalam bidang ini sekitar 2014, dia sekarang sudah boleh menambah bilangan sangkar menerusi pinjaman Tekun.

Jelasnya, kos bagi satu sangkar sahaja menelan belanja antara RM4,000 hingga RM10,000 bergantung kepada saiz sangkar dan mengambil masa sehingga enam bulan sebelum ia boleh dituai, dan sepanjang tempoh itu juga pengusaha perlu menghadapi pelbagai risiko.

Harmizan berkata, bukan semua anak benih ikan yang dilepaskan di setiap sangkar hidup dan membesar dengan baik, kerana ada di antaranya mati berikutan faktor tertentu seperti cuaca atau tekanan.

“Kami saling berkongsi masalah dan idea untuk memastikan ikan ternakan dalam kualiti yang baik.

“Syukur Alhamdulillah, projek ikan sangkar di kawasan ini tidak terjejas akibat kemarau baru-baru ini. Malah, semasa kejadian banjir pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015, kita hanya mengalami kerosakan empat sangkar sahaja,” katanya.

Tumpuan pengunjung termasuk dari luar negara

Bagi Zainudin Man, 50, pula, walaupun tidak banyak mengetahui ilmu pengurusan ternakan ikan air tawar tetapi dia mempunyai pengalaman dan kemahiran berkaitan ikan yang ada di Sungai Pahang.

Menurutnya, memandangkan harga getah rendah, dia menyertai Piat untuk bekerja, dan berasa puas dengan keputusannya untuk bersama-sama menguruskan projek itu.

“Projek ini selalu dijadikan lokasi kepada orang luar untuk melihat sendiri proses pengendalian ikan sangkar termasuk dari luar negara.

“Mereka teruja melihat projek ini kerana ada pelawat dari Afrika Selatan terkejut melihat sangkar ikan yang timbul sedangkan mereka mengusahakan kolam ikan,” katanya.

Memandangkan lokasi projek ini kerap dikunjungi, Azmi mengambil inisiatif mewujudkan sembilan buah pondok wakaf yang diperoleh di bawah Program Agro Pelancongan, yang membolehkan pengunjung berkumpul untuk mendengar taklimat atau menikmati suasana matahari terbenam di tepi sungai ini.


0 comments:

share2