Alat siaraya mudah alih “ASiMA” ciptaan guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Retang, Jerantut meraih pingat Emas lima terbaik kategori sekolah dalam pertandingan Innovation and Invention in Education Competetion 2016 (2ieC’16).
ASiMA yang dihasilkan hasil ubahsuai troli terpakai menarik perhatian juri sekali gus meraih pencapaian membanggakan dalam 2ieC’16 yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, 19 Mei lalu.
2ieC’16 disertai 137 institusi pengajian seluruh negara merangkumi dua kategori iaitu kategori sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Ketua Projek Inovasi, Mohd Norul Syawal Ibrahim berkata, mereka sangat berbangga kerana kejayaan itu membuktikan kemampuan anak-anak Felda bersama guru-gurunya menghasilkan satu produk inovasi yang berkualiti untuk manfaat sekolah dan komuniti setempat.
Menurutnya, ASiMA pernah digunakan untuk aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) dalam kelas, sambutan sukan tahunan, perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan dan program sambutan bersama komuniti Felda.
“Alhamdulillah, kecemerlangan diraih menerusi unit kokurikulum ini seiring dengan prestasi akademik pelajar di sekolah ini,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Sungai Retang, Romely Omar berkata, penyertaan di peringkat kebangsaan itu adalah kali kedua sejak sekolah tersebut layak ke pertandingan akhir dalam Pertandingan Inovasi Kelab dan Persatuan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua warga pendidik di sekolah, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) selain pihak luar termasuk Felda Wilayah Jengka dan Bank Islam cawangan Jerantut.
Katanya, kejayaan dalam bidang inovasi itu merupakan satu pencapaian yang harus dibanggakan pelajar luar bandar terutama warga SMK Sungai Retang.
“Dalam bidang akademik, sekolah itu juga merupakan sekolah terbaik luar bandar bagi daerah Jerantut,” katanya.
Beliau berkata, program seumpama itu amat baik kerana dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam bidang inovasi.
0 comments:
Post a Comment