Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 2, 2016

JANGAN MUDAH MELATAH ISU RUU PERSENDIRIAN


Jangan mudah melatah isu RUU Persendirian


Sungai Besar – Parti Komponen BN yang tidak bersetuju dengan RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 diingatkan supaya tidak mudah melatah hingga sesetengah pemimpin dan ahli mereka sanggup mengugut meletak jawatan dalam kabinet dan keluar parti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, pemimpin dan ahli mereka sepatutnya mengenang semua sejarah penubuhan BN yang sebelum ini dikenali sebagai parti Perikatan yang memperoleh pemerintahan daripada British dan menjalankan pemerintahan demokrasi hingga hari ini.

“Kita (BN) parti senior iaitu parti teras yang menubuhkan kerajaan dan mengasaskan pilihan raya menerusi amalan demokrasi.

“Isu ini (pembentangan RUU Persendirian) sebenarnya sengaja ditimbulkan pembangkang khususnya DAP, patutnya kita janganlah pula melatah.

“Sebenarnya, ini menampakkan mereka (beberapa pemimpin parti komponen) tak matang sebagai sebuah parti lama,” katanya pada Sidang Media selepas Majlis Perjumpaan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Ruang Legar Jakel Sungai Besar, di sini.

Mohd Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, pemimpin parti komponen seharusnya mengadakan mesyuarat dengan semua parti komponen BN bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung RUU Persendirian yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, katanya, sebagai pemimpin tertinggi parti masing-masing, mereka tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan meletak jawatan atau memberikan sebarang komen sehinggalah satu keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“(Beberapa) pemimpin komponen BN kata, dia (mereka) tak setuju hudud, kita beritahu (pada mereka) yang nak dibentangkan bukan hudud..jadi kalau tak paham, bincanglah dulu.

“Patutnya parti komponen yang tak setuju beritahu, kalau nak buat juga hudud yang berteraskan Islam, itu terserah kepada BN. Sebagai orang bukan Islam (parti komponen BN), kami tak nak, itu sudah cukup..janglah sampai keluar perkataan gertak, sebab itu tak wajarlah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ali turut meminta agar rakyat di Parlimen Sungai Besar memberikan sokongan penuh kepada calon BN, Budiman Mohd Zohdi bagi meneruskan kesinambungan legasi Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di Parlimen itu.

“Saya fikir rakyat di Sungai Besar kenal YB (Yang Berhormat) Budiman yang merupakan anak tempatan dengan latar belakangnya sebagai seorang pemimpin yang amat dikenali dan mesra rakyat.

“Saya yakin, beliau (Budiman) boleh bawa perpaduan kepada masyarakat di sini dengan lebih baik pada masa depan selain dapat membantu usahawan-usahawan di Parlimen ini untuk maju dalam perniagaan masing-masing,” katanya.

Ditanya apakah harapannya terhadap pengundi Cina di Parlimen itu, Mohd Ali berkata, inilah peluang terbaik kaum Cina mengundi Budiman yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang menjadi Adun Sungai Panjang.

“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kita nampak mereka (pengundi Cina) tidak menyokong perkara-perkara yang wajar, sebaliknya mereka sokong berdasarkan sentimen, sedangkan kita dah nampak kelemahan pembangkang di negeri yang dimenangi mereka.

“Banyak janji-janji yang masih tak tertunai lagi..inilah peluang kepada pengundi Cina bangkit dan turut serta dalam perkara baik yang telah dibuat kerajaan,” katanya.


0 comments:

share2