Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan secara berperingkat kepada 220 penerima di sini dianggap sebagai ‘bonus’ dalam persediaan menghadapi Aidilfitri.
Seorang penerima, Norhayati Said, 42, berkata, pendapatannya sebagai pekerja sambilan di gerai makan tidak menjanjikan gaji lumayan, tetapi dengan BR1M yang diterima itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban.
Menurutnya, dengan RM400 itu, dia akan cuba berjimat cermat supaya anak-anaknya yang masih kecil dapat menikmati Syawal dengan ceria.
“Suami tidak bekerja, jadi saya yang kena tanggung semua perbelanjaan dalam rumah. Alhamdulillah, dua anak (daripada lapan beradik) sudah bekerja dan mereka ada membantu.
“Lagi empat masih bersekolah, dan selalunya mereka inilah yang lebih teruja nak sambut raya. Saya bersyukur bila dipanggil untuk terima BR1M, dan memang tak sangka akan terima pada waktu ini,” katanya.
Norhayati berkata demikian ketika ditemui selepas menerima BR1M yang disampaikan oleh Adun Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman di Dewan Kompleks Rakan Muda, di sini, semalam.
Norhayati berkata, selain itu, dia juga perlu menguruskan seorang lagi anaknya yang dikategorikan sebagai OKU yang terlantar dan memerlukan perhatian sepenuhnya.
Mastura Ahmad, 40, pula berkata, dia bersyukur kerana dipilih menjadi penerima bantuan kali ketiga, tahun ini.
“Alhamdulillah... bila dapat BR1M ni, legalah sedikit. Biarpun tak banyak tapi dapat juga tampung apa-apa keperluan yang kurang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment