Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 21, 2016

SIASAT DALANG SEBAR 'SURAT DARI PENJARA'


Siasat dalang sebar 'surat dari penjara'


Kota Bharu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Lembaga Disiplin parti itu menyiasat dalang di sebalik penyebaran ‘surat dari penjara’ yang viral di media sosial baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK, Mohd Sukirman Mustafa berkata, adalah menjadi kesalahan sekiranya penyebaran surat dilakukan dengan niat sengaja membocorkan rahsia dalaman parti kepada masyarakat umum.

“Tindakan (bocor surat) itu juga membawa implikasi tidak baik terhadap kelonggaran yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pihak penjara sebelum ini, termasuk melibatkan lawatan keluarga, pertemuan dengan peguam dan sebagainya.

“Kita hanya inginkan kepastian, siapa yang bertanggungjawab terhadap perkara ini, dan amat malang jika ia melibatkan kepimpinan parti sendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Sukirman berkata, penyebaran surat berkenaan kepada umum juga lebih membawa kepada pergolakan sesama anggota parti dan memberi imej buruk terhadap parti serta barisan kepimpinan.

Menurutnya, pihaknya berharap Lembaga Disiplin parti memandang serius perkara ini serta menjalankan siasatan lanjut mengenainya bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku selepas ini.

“Jika ia melibatkan pimpinan parti, maka tindakan tegas perlulah diambil berdasar kepada peraturan yang ada,” katanya.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Akta Penjara 1995 menyatakan seseorang yang menyeludup atau cuba menyeludup barang larangan masuk atau keluar dari penjara sebagai satu kesalahan.

Menurutnya, Akta Penjara memperuntukkan barang larangan dibawa masuk atau keluar adalah dadah, wang atau arak dan termasuk alat atau artikel seperti ditetapkan komisioner jeneral dari semasa ke semasa.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Anwar menulis sepucuk surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa Deklarasi Rakyat diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak sempurna dan lari daripada agenda reformasi sebenar.


0 comments:

share2