Alor Setar - Tindakan dua lelaki tempatan bersama lima warga Myanmar menyeludup keluar dari negara tidak berhasil apabila masing-masing ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Rabu lepas.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi, kedua-dua lelaki tempatan masing-masing berusia 30 dan 33 yang bekerja sebagai pemandu bas dan pembantunya disyaki melakukan kesalahan itu menggunakan perkhidmatan bas ekspres.
Menurut Ketua Imigresen Bukit Kayu Hitam, Penolong Pengarah Imigresen Nar Azaman Ibrahim, mereka disyaki melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007( Akta 670)(ATIPSOM) kerana cubaan membawa keluar warga Myanmar ke Thailand.
“Bas ekspres berkenaan ditahan apabila ia melepasi sekatan jalan raya, yang mana lima warga Myanmar berusia lima hingga 38 tahun, termasuklah dua kanak-kanak lelaki ditemui dalam pemeriksaan dijalankan.
“Ketika pemeriksaan, warga asing berkenaan diarahkan bersembunyi dicelah kerusi penumpang,” katanya.
Warga asing terbabit ditahan kerana melakukan kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan bas ekpres terbabit pula disita sebagai bahan bukti.
Mereka yang ditahan dan bas terbabit diserahkan kepada Unit Penguat kuasa Imigresen Bukit Kayu Hitam untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara dua lelaki tempatan direman selama tujuh hari dan ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah( IPD) Kubang Pasu, Jitra.
Manakala kesemua warga Myanmar yang ditahan direman selama 14 hari dan ditahan di Lokap Imigresen Ibu Pejabat Imigresen Negeri Kedah.
0 comments:
Post a Comment