Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 26, 2016

RUMAH BEKAS JURUHEBAH RADIO TERBAKAR


Rumah bekas juruhebah radio terbakar


Rantau Panjang – Rumah bekas juruhebah Radio Kota Bharu (Kelantan FM) tahun 1975, terbakar di Kampung Senor jam 6 petang, kelmarin.

Mohamad Daud, 58, berkata, dia mengalami kerugian sebanyak RM 110,000 apabila rumah yang dibina lebih 20 tahun lalu, hangus sepenuhnya.

Mohamad yang tinggal berdekatan tempat kejadian berkata, kebiasaannya dia akan menjenguk rumah yang diduduki anak perempuannya itu, dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan selepas solat Asar.

“Entah kenapa petang itu, saya lewat bertolak ke rumah berkenaan, mungkin kerana Tuhan menjaga keselamatan kami kerana selalunya saya ke rumah ini bersama cucu berusia empat tahun.

“Walaupun mengalami kerugian ratusan ribu ringgit, tapi saya bersyukur anak perempuan bersama empat lagi rakan praktikalnya yang menginap selamat kerana tidak berada di rumah,” katanya.

Ketika itu Mohamad berkata, kelima-lima penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam perjalanan pulang selepas mengikuti kursus praktikal di Salor.

Mohamad yang bersara pada 2010 lalu berkata, mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang masih mengingati selain bertanya khabar mengenai dugaan yang menimpanya ini.

Sementara itu, saksi, Mohd Azli Loman, 25, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menyedari asap tebal keluar dari arah bilik tidur rumah itu.

Menurutnya, curiga dengan kejadian itu dia dan sepupunya memeriksa kawasan sekitar dan terkejut apabila mendapati api mula menyambar siling rumah berkenaan.

“Kami menjerit meminta sepupu-sepupu saya yang lain dan mengambil air serta pasir bagi memadamkan api berkenaan.

“Saya turut memanggil penduduk kampung yang lain agar dapat membantu kami memadamkan api,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Kanan Bomba I, El-Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.23 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan sembilan anggota.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati rumah terbakar hampir 90 peratus dan kami berjaya mengawal api 20 minit kemudian,” katanya.


0 comments:

share2