Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 3, 2016

#PRNSARAWAK: ADENAN MAHU WUJUDKAN KERUSI UNTUK KOMUNITI PENAN




Barisan Nasional (BN) Sarawak berhasrat mahu memastikan semua kumpulan etnik minoriti termasuk Penan mempunyai wakil rakyat masing-masing dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata pada masa kini boleh dikatakan hampir semua etnik minoriti utama sudah mempunyai wakil masing-masing sama ada di DUN atau Parlimen.

"Bisi (Ada) Kayan, bisi Kenyah, bisi Lun Bawang, bisi Bisaya," katanya ketika berucap pada majlis bersama masyarakat Telang Usan, Mulu dan Ba'Kelalan di sini, hari ini.

Malah, menurutnya, bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 ini, dua lagi kerusi baharu diwujudkan di kawasan orang Ulu setelah diminta kerajaan negeri, iaitu kerusi DUN Mulu bagi etnik Kelabit dan Murum bagi etnik Kenyah.

"Inilah peluangnya untuk tambah suara orang Ulu di DUN," kata Adenan, yang juga pengerusi BN Sarawak.

Hadir sama calon BN bagi kerusi Telang Usan, Dennis Ngau; Mulu (Datuk Gerawat Gala) dan Willie Liau bagi kerusi Ba'Kelalan.

Menurut Adenan, kaum Ulu terdiri daripada enam peratus daripada keseluruhan populasi Sarawak dan pada masa kini lebih daripada enam peratus wakil rakyat negeri itu adalah orang Ulu.

Sementara itu, Ketua Kampung Long Kawa, Ting Gadong daripada etnik Penan, ketika ditemui Bernama, berkata ia satu pengiktirafan memandangkan belum ada wakil Penan di peringkat tertinggi.

"Kami sangat gembira, kerana sekiranya benar, masa depan kami lebih cerah," katanya.

Beliau dan beberapa lagi masyarakat Penan di Long Kawa memandu secara sukarela hampir tujuh jam untuk datang berjumpa Adenan di sini.


0 comments:

share2