Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 29, 2016

NAHAS UDARA DAN VISI DUNIA

Nahas udara dan visi dunia



PADA tahun 1985, kami sekeluarga menaiki sebuah kapal terbang sewa kipas satu di Rotorua, New Zealand. Anak bongsu saya baru mencecah usia setahun. Kerap dia menutup mata dengan tangan apabila memandang ke bawah.

Pastinya dia gayat. Di bawah sana, antaranya adalah ‘crater’ atau kawah besar bekas gunung berapi.

Kini saya meremang bulu roma mengenangkan ‘bagaimana jikalau’ kapal terbang itu jatuh bersama keluarga saya seramai enam orang. Kenapa begitu? Rasa bimbang itu memang sepatutnya.

Kajian merumuskan, untuk ke sana ke mari, pesawat udara ialah pengangkutan yang paling selamat.

Namun begitu, pesawat kipas satu mengalami 70 peratus daripada jumlah kemalangan kapal terbang. Yang paling selamat ialah kapal terbang komersil yang membawa penumpang berbayar, seperti MAS, SIA Garuda, BA, Emirates, KLM, Cathay dan lain-lain.

Meskipun untuk sekian lama hingga sekarang banyak berita panas tentang kemalangan kapal terbang menerawang dan mencetuskan unsur-unsur skandal, seperti yang berlaku kepada dua pesawat MAS di ruang udara Ukraine dan Lautan Hindi Selatan (?) pada tahun 2014, namun secara relatif penerbangan ialah pengangkutan paling selamat. 

Suka atau tidak, apa yang berlaku di AS dianggap relevan. Di negara-negara lain, kekurangan sumber kewangan dan sumber-sumber lain menafikan sesuatu inisiatif. Di AS, Universiti Northwestern dekat Chicago, sebuah universiti terkemuka, telah membuat kajian tentang tahap kemalangan dalam kalangan kenderaan pengangkutan tanah dan udara melalui Jabatan Ekonomi dan Pengangkutannya.

Kesimpulan yang dicapai: pesawat udara adalah paling selamat. Kereta api adalah tiga kali kurang selamat daripadanya, sedangkan kereta 40 kali lebih berbahaya daripada kereta api. Semuanya disandarkan kepada statistik atau perangkaan, seperti faktor jumlah penumpang, kekerapan perjalanan, jarak perjalanan dan sebagainya.

Satu hakikat yang menggelikan ialah sebahagian besar kemalangan kereta api bukan kerana kerosakan enjin atau landasan, tetapi kerana kesilapan orang melintas atau tergelincir di landasan disebabkan sikap acuh-tak acuh, mental tidak stabil dan mabuk – terutama di tempat-tempat melintas (level –crossing). Jelas sekali kehidupan harian kita kini bergantung pada kereta, motosikal, bas dan, di mana relevan, kereta api. Jumlah berjuta-juta berkereta, berbas, bermotosikal dan berkereta api di Lembah Kelang mengakibatkan banyak kemalangan. Satu peratus nahas bererti beratus kecederaan. Ini boleh diterjemahkan kepada beberapa kematian. 

Disebabkan ia menjadi lumrah, maka ia tidak menjadi berita lagi. Media tidak cukup ruang. Ia hanya memberi ruang jika ada manusia penting menerima nasib begitu ataupun ada nahas yang amat luar biasa sifatnya. Sebaliknya berjuta-juta juga penerbangan berlaku dalam setahun di seluruh pelosok dunia. Dari jumlah itu, purata nahas berlaku ialah 20-25 kejadian setahun, kecil besar. 

Meskipun begitu, apabila nahas udara berlaku, ia menjadi berita panas yang diulangi oleh akhbar, TV dan radio. Sering diiringi video yang menunjukkan tempat dan mangsa nahas. Inilah yang amat mengerikan. Oleh itu terdapat banyak pihak yang kini berfikir banyak kali apabila ingin berkunjung ke luar negeri dengan kapal terbang.

Dalam kesangsian itu, terlintas di kepala kononnya, jika menaiki kereta atau bas, kita ada peluang meloncat atau merangkak keluar jika berlaku nahas. Ini seolah-olah kita boleh memilih jenis nahas.

Jika begitu keadaannya, maka kita berpeluang kecil untuk pergi ke seberang laut yang jauh. Namun segalanya itu akhirnya berbalik kepada unsur kemanusiaan dengan pegangan agama dan kepercayaan masing-masing: kematian, seperti dalam semua hal, adalah penentuan Tuhan, tidak kira di mana dan bila.

Tidak sedetik lebih cepat dan tidak sedetik lebih lambat. Dari itu, pengangkutan melalui pesawat udara, kereta api, bas, kereta, kapal dan motosikal terus berkembang menurut keperluan manusia. “Bismillah..’ dan pergilah!

Dulu saya membaca cerita Somerset Maugham dengan plot dan konflik di negeri-negeri sana dan sini yang dilawatinya. Begitu juga buku-buku pengembaraan Isabella Bird (yang menamakan Tanah Melayu sebagai Semenanjung Emas). Karya-karya mereka adalah hasil perjalanan dengan kapal laut.

Untuk anak-anak tanah jajahan British, seperti negara kita Malaya, visi kita terhadap dunia menjadi luas sebab membaca karya-karya mereka dan lain-lain. Demi visi yang lebih bererti, jika rezeki mengizinkan, penerbangan udara di sisi generasi kini tidak patut terhalang dengan gejala kesementaraan yang timbul dari masa hingga masa. 

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet




0 comments:

share2