Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 26, 2016

[KUANTAN] VIRAL TIDAK TEPAT ANIAYA PENIAGA


Viral tidak tepat aniaya peniaga


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihatkan orang ramai supaya lebih beretika dalam berkongsi maklumat di media sosial, terutamanya berkaitan harga barang yang menjadi viral.

Pengarahnya, Sharuddin Jali berkata, walaupun tiada laporan rasmi dibuat, pihaknya tetap memantau dan mengambil tindakan terhadap sebarang laporan berkaitan harga barang yang didedahkan.

Menurutnya, KPDNKK akan segera bertindak walaupun tiada sebarang aduan jika terdapat viral di media sosial mengenai kenaikan harga barang yang melampau.

“Bagaimanapun, kebanyakan kes yang diviralkan adalah tidak tepat sehingga menganiaya peniaga terlibat.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai supaya lebih beretika sebelum berkongsi apa-apa maklumat di media sosial. Pastikan maklumat tersebut sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga di sebuah restoran, Kemaman Kopitiam, di sini kelmarin.

Kempen yang bermula kelmarin sehingga 5 Jun itu turut disertai kopitiam berkenaan dengan menawarkan potongan sebanyak 10 peratus bagi setiap makanan dan minuman.

Dalam perkembangan lain Sharudin berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan jersi tiruan sempena kehangatan Kejohanan Bola Sepak Euro 2016 bulan depan.

“Sebuah jawatankuasa bersama pemilik berjenama berdaftar ditubuhkan bagi memantau mengenai kegiatan menjual produk tiruan ini.

“Kerjasama dengan pemilik jenama berdaftar bagi memudahkan sebarang urusan tindakan mengenai pakaian tiruan yang menggunakan jenama mereka,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM250,000.

Sementara itu, pemilik Kemaman Kopitiam, Stanley Soon berkata, harga makanan dan minuman dikenakan di premisnya termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menurutnya, setiap pelanggan disarankan supaya melihat menu dan harganya terlebih dahulu sebelum membuat pesanan supaya mereka mengetahui harga makanan sebelum membayarnya.


0 comments:

share2