Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 5, 2016

GARA-GARA SALAH FAHAM, BANDUAN LUDAH POLIS


Gara-gara salah faham, banduan ludah polis


Kota Bharu - Gara-gara salah faham, seorang banduan bertindak agresif dengan memaki hamun dan meludah ke muka anggota polis berpangkat koperal dalam satu insiden di bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari ketika banduan tersebut menunggu barang kes bagi prosiding menjatuhkan hukuman membabitkan kesalahan merompak dan pemilikan pedang.

Banduan berkenaan tiba-tiba gagal mengawal diri bangun dari tempat duduk serta menyoal apa yang diberitahu polis kepada ibunya yang berada di luar mahkamah.

Keadaan semakin tegang apabila tertuduh mengeluarkan kata-kata kesat sambil meminta dibukakan gari mengajak polis berkenaan bertumbuk.

Mangsa yang terpinga-pinga mendekati tertuduh bagi mendapatkan kepastian, bagaimanapun tertuduh bangun lalu meludah ke muka anggota polis. 

Keadaan kembali reda selepas seorang anggota polis lain yang turut sama berada di tempat kejadian memberi amaran supaya tertuduh menjaga tingkah lakunya. Insiden turut disaksikan jurubahasa mahkamah dan beberapa pengamal media.

Sementara itu, mangsa yang dihubungi berkata, sebelum insiden itu, dia ke tandas bersebelahan mahkamah dan melihat seorang wanita menangis di bangku luar tandas lalu menyapa wanita itu.

“Saya tanya kenapa dia menangis dan wanita itu jawab tertuduh adalah anaknya. Saya tidak berkata apa-apa yang buruk, sebaliknya memujuk ibu tertuduh supaya bersabar, itu saja,” kata mangsa.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu dan tertuduh pula mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan rompak serta pemilikan pedang selepas insiden tersebut.


0 comments:

share2