Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 16, 2016

DIJEL 25 BULAN KERANA PENUTUP LONGKANG ISTANA


Dijel 25 bulan kerana penutup longkang istana


Kota Bharu - Padah buat seorang tukang baiki pendingin hawa apabila dijel 25 bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam, kerana memindahkan harta curi iaitu penutup longkang milik istana.

Hukuman diputuskan Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri terhadap Mohd Faizol Bahrie Sharie, 34, selepas tertuduh mengaku salah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja memindahkan harta curi iaitu 13 besi penutup longkang di sebuah kedai besi buruk di Kampung Jaya Jalan Pasi Hor, di sini, pada jam 10 pagi, 16 April lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 15 April lalu, tertuduh masuk ke kawasan Istana Kota Lama dengan menaiki kereta bertujuan membaik pulih pendingin hawa.

Pada masa sama berlaku kehilangan penutup longkang di kawasan istana itu. Siasatan mendapati tertuduh mengaku mencurinya.

Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan kerana mempunyai dua anak yang masih kecil, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Seiw Mun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

“Tertuduh menyalahgunakan tujuan masuk ke istana dengan melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang,” katanya Siew Mun.


0 comments:

share2