Kuala Lumpur - DAP hari ini menyatakan ketegasan untuk tetap bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekaligus menyokong Deklarasi Rakyat meskipun selepas diberi peringatan oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Publisiti Kebangsaannya, Tony Pua berkata, kebimbangan Anwar itu perkara biasa.
"Itu reaksi biasa. DAP akan tetap sokong Deklarasi Rakyat tapi kita akan buat perubahan sedikit sesuai dengan perjuangan DAP.
"(Tapi) kami juga takut dipergunakan Tun Mahathir," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar melalui surat lapan muka surat bertulis tangan itu memberi peringatan terhadap penglibatan pemimpin PKR dan Pakatan Harapan dengan Tun Mahathir dalam gerakan selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat.
Tony turut menganggap kerjasama dengan Tun Mahathir itu memberi peluang orang ramai lebih mengenali Pakatan Harapan.
"Apa yang penting Tun Mahathir ada bersama pembangkang sebab pengaruh Tun Mahathir itu lebih besar.Tapi Tun Mahathir pun percaya dapat sokongan daripada Pakatan Harapan," katanya.
Semalam, surat tersebut disifatkan palsu oleh seorang pemimpin PKR namun Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin hari ini seolah-olah mengesahkan kesahihan surat tersebut apabila memberitahu surat itu sebagai teguran Anwar kepada semua pemimpin PKR untuk kembali ke pangkal perjuangan.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Apa kisah surat daripada Anwar...']
Manakala isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga Presiden parti dan anaknya, Nurul Izzah mengambil sikap enggan mengulas lanjut dengan hanya menyifatkan ia sebagai masalah dalaman parti.
0 comments:
Post a Comment