Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 14, 2016

BURUNG ENGGANG BAKAL JADI TARIKAN BAHARU PERLIS


burung enggang


Kangar - Burung Enggang yang biasanya terdapat di Sabah atau Sarawak bakal menjadi tarikan terbaharu di Perlis dan akan dijadikan nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada di negeri ini tidak lama lagi.

Pengarah Tourism Malaysia Perlis, Razaidi Abd Rahim berkata, ini kerana beberapa pengkaji dan pemerhati burung tempatan dan antarabangsa baru-baru ini telah mendapati lapan jenis spesies Enggang ada di hutan Taman Negeri Perlis.

"Penemuan burung itu merupakan aset menarik, bersesuaian dengan agenda pembangunan pelancongan negeri yang sedang giat melakukan penjenamaan semula imej pelancongan berasaskan keindahan alam semulajadi yang ada.

"Spesies Enggang atau Kenyalang yang terdapat di Perlis ialah oriental pied hornbill, black hornbill, bushy crested hornbill, wrinkled hornbill, rhinoceros hornbill, great hornbill, helmeted hornbill dan white crowned hornbill," katanya.

Razaidi berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini sempena penutupan Bengkel Pembangunan Industri Pelancongan Negeri Perlis 2016 yang bermula pada 11 Mei lepas.

Seramai 45 peserta terdiri daripada agensi dan jabatan berkaitan termasuk pensyarah dan penggiat industri telah menyertai bengkel tersebut yang bertujuan untuk memperkasa lagi hala tuju sektor pelancongan Perlis.

Turut hadir ialah Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Abdul Jamil Saad dan Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Perlis, Anuar Abidin.

Sehubungan itu, Razaidi berkata fokus penambahbaikan akan dilakukan khusus bagi aktiviti memerhati burung dan mendaki tembok batu, memandangkan Perlis juga memiliki bukit bukau yang sesuai untuk aktiviti lasak itu.

Beliau berkata, terdapat tiga kawasan pelancongan utama yang bakal dibangunkan dengan dua aktiviti berkenaan iaitu di Bukit Keteri, Gua kelam dan Taman Rekreasi Bukit Lagi di sini.

"Kita jangka ia bakal menjadi tarikan utama bagi orang ramai ke negeri ini untuk beriadah, melancong serta menghargai keindahan alam semulajadi yang juga merupakan terapi yang mendamaikan, khususnya bagi ahli fotografi alam serta penggemar aktiviti lasak," katanya.

Sementara itu, Abdul Jamil berkata bagi menggalakkan lagi sektor itu di Perlis, lebih ramai ejen pemandu pelancongan dan mereka yang mahir dalam aktiviti pelancongan sukan akan dilatih bagi memberi impak yang lebih berkesan kepada sektor berkenaan.

"Kita juga ada merancang untuk mewujudkan taman tema yang menyeronokkan serta pelbagai aktiviti rekreasi di negeri ini, namun sebelum itu, tenaga terlatih yang mahir dalam bidang-bidang tertentu yang berkaitan perlu mencukupi," katanya.


0 comments:

share2