KUALA LUMPUR - Polis telah menahan tiga lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan di Syria dan Sri Lanka.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua suspek terdiri daripada dua rakyat Rusia dan Sri Lanka berusia dalam lingkungan 23 hingga 42 tahun.
"Mereka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam satu operasi khas di sekitar Selangor pada 28 Mac dan 29 April 2016.
"Dua suspek warga Rusia etnik Chechen itu disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS. Mereka pernah ditangkap pihak berkuasa Turki pada Februari lalu kerana didakwa terlibat dalam aktiviti kumpulan IS di Syria sebelum diusir dari Turki dan memasuki Malaysia pada mac 2016.
"Kedua suspek ini telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. Mereka ini diusir ke negara asal pada 13 Mei 2016 dalam satu operasi khas," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Sementara itu, Khalid berkata, suspek warga Sri Lanka yang bekerja sebagai juruteknik kamera litar tertutup (CCTV) di Lembah Klang ditangkap pada 22 April lalu.
"Suspek terlibat pernah membuat ugutan bunuh terhadap Presiden dan Perdana Menteri Sri Lanka melalui akaun Facebook miliknya. Suspek tersenarai dalam individu dikehendaki pihak berkuasa di sana.
"Suspek ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63 dan pernah diusir ke Sri Lanka dalam satu operasi khas pada 27 April 2016.
"Kejayaan tangkapan suspek adalah hasil kerjasama mantap PDRM dengan Agensi Penguatkuasaan Sri Lanka," katanya.
Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan sentiasa memantau rapi kemasukan warga asing dari negara yang berisiko.
"Tujuannya bagi memastikan tiada anasir kumpulan penggang menyusup masuk ke Malaysia untuk berlindung ataupun menjadikan negara ini sebagai sasaran," katanya.
0 comments:
Post a Comment