Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 25, 2016

#PRNSARAWAK: LIM GUAN ENG 'ANGIN SATU BADAN' DAP VS PKR DI 9 KERUSI




Kuching – Sekiranya di atas pentas ceramah dan segala macam program, dua parti ini tampil konon sebagai sahabat sejati. Namun apabila berhadapan realiti untuk berebut kuasa baru kenal siapa musuh siapa sahabat.

Setelah pelbagai usaha untuk mengelak pertembungan antara dua parti Pakatan Harapan tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, malangnya rancangan penyelarasan mereka tetap gagal secara terbuka.

Hari proses penamaan calon pilihan raya tersebut yang berlangsung pada Isnin akhirnya mendedahkan kepada umum bagaimana tembelang serta temberang PKR dan DAP ibarat tidur sebantal tetapi mimpi tetap lain-lain.

Bukan satu, bukan dua…. semuanya sembilan kerusi PKR dan DAP bertembung sesama sendiri. Kerusi berkenaan ialah di Senadin, Mambong, Ngemah, Simanggang, Mulu, Batu Kitang, Bukit Simunja, Tebedu dan Murum.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan portal propembangkang sebagai ‘angin satu badan’ dengan perkembangan kurang sihat yang bukan sahaja melucukan malah memalukan Pakatan Harapan itu sendiri.

Ketika ditemui wartawan di Miri, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak dapat menyembunyi perasaan ‘angin satu badan’ atau cakap mudah meluahkan geram secara terbuka kepada sekutunya tersebut yang mengkhianati DAP.

Bahkan katanya DAP berasa seolah-olah tertipu dengan mendakwa: “Jika satu kerusi, kita boleh memahami. Kita boleh cuba ketepikannya tetapi ini sekurang-kurangnya sembilan kerusi, bagaimana kita boleh ketepikannya?”

Guan Eng berkata, tindakan DAP dan PKR berebut kerusi yang sama tidak sahaja akan mengelirukan rakyat Sarawak malah mungkin memberi isyarat yang salah kepada pengundi menjelang hari pengundian pada 7 Mei.


Dakwa beliau lagi, ketiadaan komitmen daripada PKR untuk mematuhi perjanjian Pakatan Harapan supaya mereka tidak bertanding melawan antara satu sama lain mungkin menjadi punca pertindihan kerusi yang serupa.

Pada masa sama, lapan kerusi lagi menyaksikan pertembungan masing-masing PAS dengan PAN (lima kerusi), PAS dengan DAP (satu kerusi) dan PAS dengan PKR (dua kerusi) menentang calon Barisan Nasional (BN)

Mengulas hal itu pada sidang akhbar di Lundu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kegagalan pembangkang mencapai sepakat pengagihan kerusi menjadi petanda mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan yang kukuh.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, kegagalan pihak DAP, PKR, PAN dan PAS itu sekali gus menunjukkan bahawa mereka tidak mampu berpakat untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak keseluruhannya.

Beliau turut menilai kemenangan tanpa bertanding dua calon BN Sarawak masing-masing di dua DUN iaitu Bukit Sari dan Bukit Kota menjadi bukti bahawa ikatan sesama pembangkang sememangnya sudah terlalu longgar.

“Ini satu petanda bahawa mereka sendiri tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan yang boleh membawa keyakinan kepada rakyat Sarawak kerana pada peringkat awal lagi mereka sudah gagal mencapai kesepakatan.

“Pengundi Sarawak tidak harus beri sokongan kepada pembangkang kerana masa depan Sarawak akan menjurus masa depan yang lebih sejahtera dan lebih makmur jika BN dapat memerintah secara berterusan,” katanya.


0 comments:

share2