Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 5, 2016

PADAH `TERNAK' NAJIS TIKUS DI PREMIS


Padah ‘ternak’ najis tikus di premis


Georgetown - Mana-mana pemilik kedai makan berisiko mengalami penutupan kedai selama dua minggu sekiranya najis tikus dijumpai di dalam premis mereka.

Amaran tersebut dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Perlesenan dan Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, pemilik kedai juga akan dikenakan denda sehingga RM250.

Menurutnya, lesen juga akan dibatalkan sekiranya pemilik kedai gagal menunjukkan dokumen kawalan serangga yang diperbaharui setiap enam bulan sekali.

“Sejak 2013, sudah menjadi perkara wajib kepada pemilik restoran dan juga kedai makan mendapatkan sijil kawalan serangga daripada syarikat swasta yang berlesen.

“Ketika pemeriksaan mereka akan menunjukkan sijil ini, malah ketika pembaharuan lesen juga ia amat diperlukan,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung penemuan tikus sebesar kucing di sekitar Jelutong dan Lebuh Chulia.

Namun pihak MBPP menafikan dakwaan tersebut berikutan tangkapan dan pemantauan pembiakan tikus sering kali dibuat saban tahun dan sehingga kini MBPP sudah menghapuskan kira-kira 110,000 tikus sejak 2009.

Pada 2009, sebanyak 14,678 tikus dibunuh dan kemudiannya 17,013 pada 2010, 15,959 (2011), 16,359 (2012), 17,675 (2013), 13,750 (2014), 14,636 (2015) dan 2,538 sehingga Februari tahun ini.

Jumlah itu menunjukkan MBPP komited mengawal vektor berkenaan daripada terus dibiarkan membiak.

Ah Teong berkata, antara kaedah yang digunakan untuk menangkap tikus di sekitar Pulau Pinang ialah meletakkan racun di dalam serbuk roti.

Beliau turut menafikan tikus berkenaan sebesar kucing gara-gara kitaran hidup tikus mampu mencapai sehingga setahun sahaja.

“Sememangnya kita tidak dapat mengetahui jumlah sebenar tikus di negeri ini,” katanya.

Dalam masa sama, MBPP memaklumkan pihaknya juga akan mengenakan denda sehingga RM250 kepada pemilik kedai yang membuang sampah ke dalam longkang.


0 comments:

share2