
Semangat yang kuat ditunjukkan Ketua Kampung Felda Lurah Bilut, Kamarudin Mat Doa, 77, membuatkan beliau sangat dikagumi dan disegani masyarakat setempat.
Ketua MCA Cawangan Lurah Bilut, Yip Seng Lam berkata, Kamarudin sentiasa membantu penduduk yang memerlukan bantuan dan tidak pernah berkira dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Menurutnya, Kamarudin lumpuh separuh kaki akibat serangan strok sejak dua tahun lalu menyebabkan beliau tidak boleh berjalan untuk melakukan rutin hariannya.
“Awal tahun lalu kesihatan Kamarudin menunjukkan perkembangan positif bila kakinya boleh digerakkan, tapi penyakit itu mula menyerang semula hujung tahun lalu selepas dia tidak mengambil ubat yang diberi hospital.
"Selepas serangan penyakit itu dia menerima rawatan di Hospital Temerloh dan sejak itu Kamarudin tak boleh berjalan hinggalah sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkunjung ke kediaman Kamarudin di sini.
Turut sama, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad; Pengerusi Felda Lurah Bilut, Roslan Daud; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lurah Bilut, Abd Mutalib Abu Bakar serta wakil Majlis Perbandaran Bentong (MPB).
Dalam pada itu, Seng Lam berharap Kamarudin pulih seperti sedia kala dan kembali aktif memperjuangkan serta membela nasib masyarakat di situ.
Sementara itu, Kamarudin berkata, keprihatinan Seng Lam dan Azhar terhadap keadaan kesihatannya amat dihargai.
"Terima kasih kepada Datuk Azhar dan Seng Lam yang banyak bantu saya. Sumbangan diberikan amat bermakna untuk saya tampung kos rawatan," katanya.

0 comments:
Post a Comment