Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 11, 2016

TUN M JUGA PERNAH DISERANG SEPERTI NAJIB HARI INI

Tun M juga pernah diserang seperti Najib hari ini



PUTRAJAYA - Kelab Timbalan Ketua Umno Bahagian (TKUB) menyarankan mana-mana ahli parti yang telah 'terlanjur' segera kembali ke pangkal jalan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Abd Hamid Md Nazahar berkata, sejarah telah membuktikan Umno-BN merupakan satu-satunya parti yang telah mencipta rekod membangunkan negara.

"Kita tak boleh lari daripada (kenyataan) itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diserang sewaktu pemerintahannya, ahli-ahli diminta mempertahankannya kerana beliau merupakan Presiden Umno.

"Begitu juga hari ini, apabila Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) diserang, kita merasakan bahawa parti Umno-BN diserang, maka wajar dan wajiblah kita ahli-ahli akar umbi mesti berpadu tenaga untuk memastikan kekuatan parti berada di tahap sebaik mungkin," katanya.

Pada sidang media sama, Presiden Kelab TKUB, Datuk Norizan Ali berkata, pihaknya telah memutuskan untuk menolak Deklarasi Rakyat yang digerakkan oleh bekas perdana menteri itu.

Menurutnya, gerakan itu membelakangkan amanah dan mandat rakyat yang mengganggu kestabilan negara dan politik tanah air.

"Deklarasi itu tidak mengikut saluran perundangan serta tidak menghormati Perlembagaan dan sistem kerajaan berparlimen.

"Kami juga kesal dengan tindakan Tun Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas Timbalan Presiden Umno), Datuk Mukhriz Mahathir (Ketua Umno Bahagian Jerlun) dan beberapa pemimpin lain yang bersekongkol pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan serta barisan kepimpin Datuk Seri Najib," katanya.

Katanya lagi, tindakan mengguling kerajaan yang di luar kerangka perundangan itu telah melanggar prinsip dan perjuangan yang pernah didokong oleh Mahathir.

"Ini merupakan satu pengisytiharan 'perang' kepada seluruh ahli Umno dan rakyat yang telah memberi mandat.

"Justeru itu, solidariti Kelab TKUB mendokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya




0 comments:

share2