Penduduk tanah rancangan ini kecewa apabila banyak urusan harian mereka tergendala akibat talian internet di kawasan itu terputus sejak lima hari lalu.
Masalah itu pernah dihadapi penduduk Oktober tahun lalu, bagaimanapun perkhidmatan internet kembali pulih dan bertambah baik selepas pihak berkaitan mengambil tindakan mengatasinya.
Exco Badan Kebajikan Peneroka (BKP) Felda Wilayah Kuantan, Othman Saari berkata, selepas aduan disiarkan Sinar Harian tahun lepas, penduduk sangat lega apabila semua talian komunikasi termasuk talian telefon dan internet berfungsi dengan baik, namun kelegaan itu hanya bertahan untuk seketika apabila masalah sama berulang.
“Disebabkan masalah ini banyak urusan penduduk yang bergantung kepada talian internet tergendala,” katanya.
Othman yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 8 berkata, disebabkan masalah itu juga, urusan pihaknya untuk mengadakan mesyuarat agung PIBG tergendala.
“Surat atau dokumen kepada pihak berkaitan tidak dapat difaks kerana ketiadaan talian telefon dan internet menyebabkan saya terpaksa maklumkan kepada mereka berhubung kelewatan penghantaran.
“Kakitangan sekolah juga mengadu banyak urusan mereka seperti memasukkan data dan urusan melibatkan pembayaran tergendala kerana masalah ini,” katanya.
Kawasan pencawang penuh semak samun
Kelmarin, Sinar Harian bersama Othman dan Ketua Peneroka Felda Lepar Utara 3, Tumin Daman meninjau keadaan pencawang pemancar talian komunikasi di kawasan itu.
Tinjauan mendapati, kawasan berkenaan seolah-olah sudah lama tidak diselenggarakan kerana dipenuhi semak samun manakala pagar rosak dan beberapa wayar berselirat tidak tersusun.
Sementara itu, Tumin berkata, pihaknya kecewa melihatkan keadaan itu, justeru berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah berkenaan.
“Keadaan pencawang yang tidak terurus menggambarkan kemudahan ini tidak diselenggara, jadi mungkin ini punca masalah yang berlaku sekarang.
“Saya sendiri tak dapat buat pelbagai urusan berkaitan pentadbiran kampung memandangkan urusan kebanyakan dilakukan secara atas talian,” katanya.
Ulang alik ke bandar
Bagi Pengurus Stesen Minyak Petronas Felda Lepar Utara 3, Mohd Firdaus Musa, 25, pula berkata, dia terpaksa berulang ke Felda Jengka 8 atau ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang terletak kira-kira satu jam perjalanan bagi mendapatkan talian internet untuk menjalankan urusan berkaitan kerja.
Firdaus berkata, sejak ketiadaan internet di sini, dia tidak dapat berurusan dengan pihak atasan syarikat untuk menghantar laporan seperti membuat penambahan minyak atau berlaku sebarang kerosakan di stesen minyak.
“Saya juga tidak menerima arahan yang disampaikan melalui e-mel syarikat dan terpaksa berulang alik beberapa kali ke bandar bagi menyelesaikan urusan syarikat yang dilakukan menggunakan internet ini.
“Bukan tak mahu guna talian telefon mudah alih, namun data yang terlalu kecil dan perlahan tidak sesuai untuk melakukan urusan syarikat yang kebiasaannya menggunakan data lebih besar,” katanya.
Terpaksa pinjamkan wang kepada penduduk
Seorang peniaga, Hamzah Abdul Hamid, 51, pula berkata, sejak terputusnya talian internet, perniagaan kedai runcitnya terganggu.
“Saya tak dapat buat urusan menambah stok barangan menyebabkan pelanggan kecewa apabila barang dikehendaki tidak ada. Tambahan pula saya merupakan ejen pembekal tambah nilai telefon, jadi tanpa talian internet, perniagaan ini tidak dapat dijalankan.
“Sebagaimana D’Mart, saya juga menjadi tempat untuk masyarakat di sini membuat pembayaran bil, namun urusan itu kini tidak dapat dilakukan sehinggakan ada antara bil penduduk menghadapi masalah disebabkan kelewatan bayaran. Saya juga tak sanggup berulang ke bandar beberapa kali semata-mata untuk mendapatkan talian internet, hanya untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Hamzah yang juga ejen berdaftar Bank Simpanan Nasional (BSN) terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk dipinjamkan kepada penduduk yang terdesak kerana pengeluaran wang menggunakan mesin yang disediakan tidak dapat dilakukan.
Menurutnya, internet amat penting dalam kehidupan seharian mereka walaupun tinggal di luar bandar, justeru pihak berkenaan diminta menghantar notis pemberitahuan untuk memudahkan semua pihak.
Dalam pada itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kuantan ketika dihubungi memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan masalah yang berlaku di tanah rancangan itu sebelum ini, namun tindakan susulan akan diambil bagi mengatasinya.
0 comments:
Post a Comment