SHAH ALAM – Foto Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjalan seiringan dengan kumpulan Pakatan menuju Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pagi semalam dilaporkan menjadi viral.
Difahamkan, gambar tersebut diambil selepas tamat perbarisan di Parlimen lebih kurang jam 10.30 pagi.
Gambar tersebut dipetik menerusi laporan portal www.suara.tv.com, semalam.
Menurut laporan itu, situasi itu tidak menggambarkan kenyataan Muhyiddin yang sebelum ini ingin menyelamatkan parti keramat Melayu itu.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilihat berjalan seiringan bersama Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; serta beberapa ahli parlimen pembangkang lain.
Bagaimanapun menurut pendapat penganalisis politik Universiti Selangor (Unisel), Dr Muhammad Shamsinor Abdul Azzis, perbuatan Muhyiddin yang berjalan beriringan bersama pembangkang tidak perlu diperbesarkan.
Ini kerana menurutnya, adalah menjadi perkara biasa bagi ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan untuk duduk semeja selepas tamat ‘perbalahan’ panjang dalam Dewan Rakyat.
“Saya pernah terserempak dengan dua ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan yang boleh minum dan boleh ketawa bersama-sama di luar Parlimen. Itu normal, bukan perkara luar biasa.
“Saya rasa Muhyiddin hanya ingin menunjukkan kematangan berpolitik. Muhyiddin melakukan perkara yang betul,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
Menurut beliau lagi, tingkah laku dan tindak tanduk Muhyiddin hanya boleh dipersoal sekiranya pemimpin Umno itu muncul dan bercakap dalam majlis pembangkang.
“Kalau beliau bercakap dalam program pembangkang, yang itu pelik. Kalau beliau hanya berjalan bersama, itu dikira biasa sahaja,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment