Jempol – Seorang bakal pengantin sanggup membuat laporan palsu bahawa dirinya disamun sebagai jalan singkat untuk mencukupkan duit belanja kahwin hujung minggu ini.
Ketua polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd Nor berkata, lelaki berusia 30 tahun ini pada awalnya datang ke Balai Polis Rompin membuat laporan polis mengatakan dirinya disamun empat lelaki sekitar jam 11.30 pagi.
“Insiden didakwa berlaku di jalan Ladang Batang Jelai , Rompin yang mana melalui laporan berkenaan, lelaki ini dikatakan telah dilanggar dari arah sebelah kanan oleh sebuah kereta jenis Hilux.
“Dia memberhentikan kenderaan kemudian turun empat lelaki yang tidak dikenali , tiga daripadanya telah menyerangnya dengan senjata parang. Salah seorang daripada empat lelaki itu telah melibas parang ke arahnya tetapi dapat dielak.
“Tidak cukup dengan itu, lelaki ini mendakwa salah seorangnya mengacukan parang kepadanya, dalam masa sama beg sandang yang diletakkan di dalam kereta telah diambil lalu mengambil kunci keretanya dan membuang kunci kereta ke dalam kebun getah berhampiran,”katanya selepas mengesahkan laporan sebentar tadi.
Noorzainy berkata, lelaki ini mendakwa dalam begnya mengandungi wang tunai RM8 000, kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank.
“Namun segalanya terkantoi apabila kita membuat siasatan lanjut terhadapnya, dia mengaku tujuan laporan dibuat adalah disebabkan tekanan selain terpaksa kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk belanja majlis perkahwinannya hujung minggu ini.
“Dia juga mengakui tidak berkongsi masalahnya itu dengan keluarga mahupun kawan-kawan. Disebabkan menamui jalan yang buntu dia tekad membuat laporan palsu dengan harapan masalah kewangan akan dapat diselesaikan atas simpati kejadian.
“Sebelum itu, dia sempat menjual satu telefon Galaxy Tab miliknya di pekan Bahau dengan memperoleh RM150,”katanya.
Noorzainy berkata, kes ini bagaimana pun masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat laporan palsu walau apa pun masalah yang dihadapi kerana ianya bukan sahaja memakan diri selain menyusahkan banyak pihak,”katanya.
0 comments:
Post a Comment