
Penganjuran projek pasar percuma mengagihkan keperluan sekolah antara usaha dilakukan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah di kawasan Kuala Pahang.
Program julung kali itu dianjurkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) zon timur dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, setiap agensi menyediakan barangan seperti uniform dan pelbagai peralatan sekolah.
Menurutnya, pelajar dan penjaga hanya layak menerima lima kupon daripada urusetia program yang membolehkan mereka menukar dengan barangan sesuai untuk kegunaan persekolahan.
Katanya, pelajar UMP kampus Kuala Pahang turut menyediakan pakaian terpakai untuk diagihkan kepada penduduk setempat yang terdiri daripada golongan nelayan dan pekerja sektor perkilangan.
“Dalam masa tidak sampai sejam hampir semua barangan dan pakaian yang disediakan berjaya diagihkan kepada mereka yang layak, malah ada yang tidak sempat mengambilnya.
“Pada program itu pelatih pusat GiatMara Kuala Pahang juga tampil menyediakan perkhidmatan gunting rambut untuk kanak-kanak lelaki dan mencuci kuku wanita,” katanya pada majlis perasmian projek pasar percuma keperluan persekolahan di dewan terbuka Perumahan Komuniti Bersepadu (PKB) Kuala Pahang di sini, kelmarin.
Sh Mohmed Puzi berkata, projek pasar percuma perlu dijadikan acara tahunan dalam usaha meringankan beban golongan berpendapatan rendah termasuk nelayan di Kuala Pahang.
Sementara itu, Penghulu Kuala Pahang, Hassan Mohamed Sukor berkata, selaku urusetia program dia berpuas hati dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang teruja mendapat barangan secara percuma.
“Perkhidmatan menggunting rambut secara percuma yang disediakan pelatih GiatMara turut memeriahkan lagi program berkenaan, rata-rata pengunjung ternyata berpuas hati.
“Selepas ini mungkin lebih banyak lagi program seumpama ini dapat dianjurkan untuk keperluan penduduk yang kurang berkemampuan,” katanya.

0 comments:
Post a Comment