Tindakan tatatertib perlu dikenakan segera kepada ahli parti Umno dan beberapa tokoh pemimpin yang didakwa bersekongkol bersama pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun berkata, pihaknya mahu tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat.
Menurutnya, beliau dan Umno Pekan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkan tidak berprinsip.
Katanya, pihaknya berasa amat tersinggung, sedih dan marah atas tindakan dilakukan Tun Mahathir dan beberapa tokoh Umno yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang.
“Tindakan kumpulan ‘desperado politik’ diketuai Tun Mahathir dan beberapa pemimpin Umno saya sifatkan sebagai satu perbuatan yang memalukan negara.
“Malah ia juga satu tindakan tidak berprinsip, gelojoh dan boleh menjatuhkan maruah, lebih-lebih lagi mereka ini pemimpin Umno yang sangat kuat mengecam pembangkang," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Abu Bakar berkata, Umno Pekan sentiasa berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Najib dalam apa jua keadaan.
Selain itu, pihaknya turut mendesak Jawatankuasa Disiplin Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti itu.
“Ini kerana perbuatan mereka melanggar prinsip Umno dan mereka berselindung di sebalik Deklarasi Rakyat serta melucutkan semua jawatan kerajaan diberikan kepada Dr Mahathir,” katanya.
Jumaat lalu, Tun Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Muhyiddin, Mukhriz, bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memeterai Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Najib.
0 comments:
Post a Comment