Jenayah cinta siber membabitkan golongan wanita yang kesunyian dikesan semakin meningkat sehingga menyebabkan kerugian besar kepada mangsa terlibat.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Hamza Taib mengingatkan wanita agar tidak mudah terpedaya ayat-ayat manis daripada mana-mana lelaki yang terlibat dalam jenayah cinta siber.
Beliau yang merasmikan Balai Polis Cherating memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kemudahan canggih bagi mengesan individu terbabit dalam jenayah siber.
Kemudahan itu katanya, memudahkan polis mengenal pasti individu terlibat dalam jenayah siber termasuk penyebaran status berbaur fitnah dan hasutan serta penghinaan kepada pemimpin dan sebagainya di laman-laman sosial.
Beliau turut mengingatkan orang ramai berhati-hati memuat turun sebarang status di laman sosial terutama yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Polis ada kemudahan untuk kesan pelaku jenayah siber ini dan jika tertangkap, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah. Kita akui dalam zaman dunia tanpa sempadan ini, peralatan canggih amat membantu polis jalankan tugas,” katanya kepada media, semalam.
Hamza berkata, pihaknya turut melatih pegawai untuk berdepan dengan situasi ancaman persepsi menggunakan medium laman sosial.
Katanya, kesannya sangat mendalam dan boleh menyebabkan pelbagai persepsi wujud.
Pada majlis itu, Hamza akui bangga dengan kewujudan Balai Polis Cherating yang siap sepenuhnya pada 2014 dengan kos RM12 juta.
0 comments:
Post a Comment