Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 21, 2016

[KUANTAN] MENDAPAN SEMAKIN TERUK

Mendapan makin teruk



Longkang yang runtuh dan parkir kereta berlubang akibat mendapan tanah di hadapan bangunan kedai di Taman Seri Haji Ahmad, Jalan Haji Ahmad di sini, merisaukan peniaga dan pengguna yang melalui laluan berkenaan.

Wakil peniaga, Ng Kian Hin, 52, mendakwa, kerosakan tersebut berpunca daripada struktur tanah tidak mampat, malah air longkang yang deras boleh merobohkan parkir kenderaan dan jejambat kecil di situ.

“Keadaan ini bertambah teruk sejak kejadian banjir dua tahun lalu dan berlarutan hingga kini, malah menjadi bertambah teruk berikutan tidak ada tindakan susulan daripada mana-mana pihak berwajib.

“Surat aduan kepada pihak berwajib sudah dihantar namun tiada tindakan menyebabkan keadaan bertambah teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sementara itu, pekerja kedai, Tee Hua Ling, 37, dia risau meletakkan kenderaannya di kawasan itu kerana boleh berlaku parkir runtuh secara tiba-tiba.

Katanya, keadaan itu menyebabkan lot parkir semakin berkurangan dan sebahagiannya juga didapati tidak selamat.

“Bagi kami yang bekerja di sini, mungkin sudah tahu, tetapi bagi pengguna jalan raya atau pelanggan yang baharu datang, mungkin sewenang-wenangnya meletakkan kenderaan.

“Sebelum ini sudah ada beberapa kenderaan kecil rosak apabila termasuk dalam lubang terutama pada waktu malam,” katanya.

Saw Wai Leong, 39, yang sudah lama berniaga di situ pula berkata, kebelakangan ini keadaan itu agak terkawal kerana cuaca panas namun dia bimbang jika hujan lebat keseluruhan bahu longkang dan parkir kereta mungkin runtuh dibawa arus air longkang.

“Saya bimbang ia akan menjadi lebih teruk pada musim hujan atau banjir akan datang.

“Harap pihak berwajib tampil dan segera bertanggungjawab membaiki longkang dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Mengulas mengenai masalah itu, Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, sebelum ini pihaknya sudah membuat semakan namun belum ada maklum balas diterima daripada pihak berkaitan.

“Selepas peniaga dan pengguna jalan tersebut membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), saya ada juga cuba dapatkan maklum balas daripada mereka, namun tiada sebarang jawapan setakat ini.

“Ini soal keselamatan pengguna, seharusnya mereka lebih peka dan bertindak secepat mungkin bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.




0 comments:

share2