Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 16, 2016

[KUANTAN] MAMPU BERTAHAN DUA BULAN SAHAJA


Mampu bertahan dua bulan sahaja


Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2 di Zon Industri Akuakultur (ZIA) di sini, hanya mampu bertahan sekurang-kurangnya dua bulan sekiranya kemarau berterusan.

Tinjauan Sinar Harian ke kolam itu mendapati keadaan sekitar kering dan air kolam berkurangan sehingga satu meter berbanding kandungan air pada waktu biasa.

Ketua Unit Projek Ternakan Ikan Air Tawar Berkelompok Kampung Pandan 2, Abdul Manaf Khalid Ahamad berkata, keadaan menjadi lebih kritikal jika berlarutan.

Menurutnya, cuaca panas dan kering sejak awal tahun ini menyebabkan kolam ikan miliknya dan peserta lain terjejas.

“Kami faham dengan keadaan cuaca sekarang tapi perlu ada satu kaedah untuk memastikan sistem saliran air ke kolam ini tidak putus.

“Banyak kolam yang semakin kering dan kami bimbang keadaan bertambah teruk,” katanya ketika ditemui di kolamnya di sini, semalam.

Abdul Manaf berkata, terdapat 43 kolam yang terlibat dengan projek itu namun hanya 37 kolam yang aktif dimiliki 18 pengusaha.

Beliau yang mengusahakan dua kolam ikan sejak 20 tahun berkata, cuaca kering yang terjadi ketika ini jarang berlaku.

Katanya, kolam yang dikeringkan minggu lalu kini kering kontang disebabkan cuaca panas.

“Biasanya mengambil masa sebulan untuk kering begitu, tapi sekarang, seminggu pun tanah sudah merekah,” katanya.

Menurutnya, projek ternakan ikan air tawar di situ memerlukan sistem air bawah tanah untuk pastikan bekalan air sentiasa ada.

Bagaimanapun katanya, pengusaha tidak mampu menyediakan sistem berkenaan dan berharap beberapa cadangan atau kaedah untuk mengatasi masalah bekalan air ke kolam itu dapat disegerakan.

“Tahun lepas ada cadangan untuk buat ‘auto-gate’. Jadi, saya harap ia akan direalisasikan,” katanya.

Abdul Manaf berkata, ZIA seluas 64 hektar itu turut diusahakan ternakan udang oleh kumpulan pengusaha yang lain.


0 comments:

share2