Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 29, 2016

KONGRES RAKYAT HANYA PUTAR CERITA BASI


Nazir Hussin Akhtar Hussin


Kuala Lumpur - Perhimpunan Kongres Rakyat semalam yang turut disertai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada isu baru, hanya medan untuk menyerang pemimpin kerajaan.

Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, perhimpunan yang hanya memberi manfaat kepada parti politik pembangkang itu memutarkan kembali isu basi yang telah bebarapa kali dijawab sebelum ini semata-mata untuk menghasut pemikiran rakyat.

Beliau berkata, rakyat yang matang tidak akan mudah menerima bulat-bulat dakwaan dan fitnah yang dilemparkan pada ucapan-ucapan sepanjang perhimpunan itu yang kebanyakannya dibuat secara membuta-tuli dan tanpa bukti kukuh.

"Kita juga kesal kerana Dr Mahathir dan Muhyiddin serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sanggup bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini, katanya, Pemuda Umno akan berdiri teguh di belakang Najib dan akan membuktikan bahawa dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau hanyalah taktik kotor pembangkang.

"Sedangkan rakyat mengetahui bahawa pemimpin pembangkang juga berdepan dengan pelbagai isu dan salah laku antaranya membabitkan pembelian rumah banglo di bawah harga sebenar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng," katanya.

Malah katanya, PKR juga masih dengan matlamat mereka yang satu iaitu untuk membebaskan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan atas tuduhan melibat pembantu peribadinya, bukan untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Lebih menghairankan, katanya, perhimpunan tersebut tidak disertai oleh pemimpin Pas yang sebenarnya sudah dapat melihat bahawa ia hanya agenda yang hanya menguntungkan DAP!

"Berdasarkan jumlah kehadiran semalam, Deklarasi Rakyat ini tidak akan berjaya dan boleh diibaratkan sebagai ‘kahwin kontrak’ yang tiada hala tuju tetapi hanya untuk memenuhi nafsu politik masing-masing sahaja," katanya.

Beliau berkata, kesemua pemimpin yang berada di atas pentas kongres itu sama ada pemimpin pembangkang atau bekas pemimpin kerajaan disatukan atas dasar kebencian terhadap kepimpinan kerajaan semata-mata dan tamak kuasa kerana masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza.

"Dalam ucapan-ucapan mereka juga, tidak ada perancangan khusus untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik daripada kepimpinan sedia ada, sebaliknya pesta ‘bogel-membogel’ keburukan yang hanya merosakkan pemikiran rakyat.

"Sekiranya Najib bersetuju meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, apakah pemimpin-pemimpin tersebut layak menduduki kerusi Nombor Satu negara? Jawapannya sudah tentu tidak!," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Titiwangsa berkata, perbuatan menghasut adalah sangat berbahaya dan mengharapkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membuat siasatan terhadap ucapan-ucapan sepanjang perhimpunan semalam.

"Perdana Menteri dipilih melalui proses demokrasi, bukannya dengan cara penggulingan kuasa. Tunggu Pilihan Raya Umum ke-14, gunakan kuasa demokrasi untuk memilih pemimpin mengikut perlembagaan Persekutuan," katanya.


0 comments:

share2