Kebiasaannya pengguna sudah terbiasa dengan kek lapis pelbagai perisa seperti buah, coklat dan asli.
Namun bagaimana pula dengan gandingan kek lapis bersama aiskrim? Pastinya ia adalah sesuatu yang baharu.
Keenakan rasa kek lapis ditambah dengan aiskrim pastinya enak dimakan ketika cuaca panas terik.
Sesuai menjadi hidangan snek petang untuk seisi keluarga sudah tentu menjadi kegemaran anak-anak kecil.
Dengan kesibukan ibu bapa mengejar masa menyediakan juadah untuk keluarga, kek lapis aiskrim pastinya dapat menambat selera.
Permintaan tinggi
Bagi G&H Cake House, gandingan Freezy Kek Lapis dengan aiskrim ternyata kian popular dan permintaannya semakin tinggi.
Pengurus operasinya, Muhamad Haziff Ahamat, 28, berkata, idea tersebut merupakan inspirasi daripada bapanya untuk menggabungkan dua jenis kudapan berbeza.
Ternyata idea itu menjadi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan setia.
“Kami bermula dengan menjual kek lapis pelbagai perisa sejak 1998 lagi.
“Namun idea ini timbul dua tahun lalu dan menerima maklum balas positif daripada pelanggan. Sejak dari itu kami pasarkan kek lapis dengan aiskrim,” katanya.
Perisa pilihan ramai seperti beri biru, coklat, durian dan vanila antara produk utama mereka.
Menurut Muhamad Haziff, kek lapis tersebut sesuai dihidangkan ketika sejuk dan bertambah sedap dimakan dengan aiskrim perisa seperti coklat, strawberi atau vanila.
“Seperti yang kita ketahui, aiskrim mempunyai ramai peminat dan setiap lapisan umur menggemarinya.
“Dengan inovasi baharu ini, sektor makanan negara semakin menyerlah dengan produk-produk lebih segar dan berbeza,” katanya.
Bermula dengan hanya beberapa perisa, Muhammad Haziff kemudian menambah variati rasa kek lapisnya memandangkan setiap pelanggan mempunyai cita rasa berbeza.
Menurutnya, setiap resipi kek lapis itu dicipta khas oleh bapanya setelah menerima permintaan daripada orang sekeliling.
“Gandingan aiskrim ditambah agar kek lapis diberi nafas baharu bukan sahaja sesuai untuk kudapan petang bahkan sebagai pembuka selera ketika makan malam.
“Selain jualan anjuran Mardi kami juga menyertai beberapa pameran untuk memperkenalkan lagi jenama kek kami kepada masyarakat,” katanya.
Menyimpan hasrat untuk mengeksport ke luar negara, Muhammad Haziff berharap ia menjadi kenyataan suatu hari nanti.
Mudah disediakan
Bagi pekerja swasta, Siti Nor Aeishah Yusoff, 27, dia menjadikan hidangan tersebut sebagai snek petang.
“Ia lebih enak dimakan selepas dikeluarkan daripada peti sejuk dan adik-beradik amat menggemari kombinasi ini.
“Satu perkara baharu, kita hanya perlu beli kek lapis kemudian ditambah dengan aiskrim,” katanya.
Ternyata gabungan tersebut kini menjadi hidangan tetap keluarganya.
Lebih penting, dia kini tidak lagi perlu memikirkan pelbagai jenis menu untuk dijadikan hidangan petang.
“Lebih mudah dan menyenangkan terutamanya mereka yang sudah berkeluarga dan mencari hidangan petang sesuai untuk ahli keluarga.
“Lagipun aiskrim adalah kegemaran ramai orang, sudah pasti tiada siapa dapat menolak hidangan yang enak ini,” katanya.
Menurutnya, cara penyediaan juga mudah sama ada membuat sendiri atau membelinya di kedai bakeri.
Katanya, terdapat banyak pilihan mengikut cita rasa masing-masing.
“Bagi mereka yang ingin menjimatkan kos, kek lapis ringkas boleh dibuat sendiri kerana bahannya amat mudah didapati. Malah kita juga boleh sediakan aiskrim buatan sendiri dengan rujukan resipi daripada buku masakan atau internet,” katanya.
Hidangan inovatif
Sementara itu, Nor Hidayah Hussen, 28, berpendapat hidangan tersebut satu keunikan dan jarang peniaga menggabungkan dua makanan berbeza.
“Inovasi makanan menarik tambahan pula saya sememangnya meminati kek lapis.
“Hidangan ini sangat sesuai ketika cuaca panas terutamanya musim sekarang,” katanya.
Menyukai gabungan aiskrim coklat bersama kek lapis perisa beri biru, Nor Hidayah menyifatkan makanan tersebut sangat sedap.
Katanya, dua rasa manis dan lemak menjadikan ia satu tarikan baharu yang harus diketengahkan.
“Jika mereka yang berkerjaya dan sibuk dengan kerja, hidangan ini mudah disediakan.
“Bukan sahaja enak dimakan waktu siang, ia sesuai dijadikan alas perut sementara menunggu waktu makan malam,” katanya.
Dia berharap hidangan itu dapat dikomersialkan lagi supaya isi rumah mempunyai lebih banyak pilihan.
0 comments:
Post a Comment