Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 25, 2017

PRU14 BOLEH DIADAKAN BILA-BILA MASA


PRU14 boleh diadakan bila-bila masa


Kuala Lumpur - Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan pada bila-bila masa walaupun tarikh Perhimpunan Agung Umno telah ditetapkan pada 5 hingga 9 Dis ini, kata Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata jika kedua-dua tarikh itu bertembung, perhimpunan agung itu boleh ditangguhkan.

"Pilihan raya umum boleh diadakan bila-bila masa, malah jika ia bertembung dengan tarikh Perhimpunan Agung Umno, kita akan tangguhkan (perhimpunan Agung UMNO)," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam. 

Mengulas lanjut Najib berkata perhimpunan agung itu akan dimulakan dengan Taklimat Presiden pada 5 Disember, diikuti perasmian sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada sebelah malam. 

Katanya persidangan sayap parti akan diadakan pada 6 Disember diikuti mesyuarat Majlis Tertinggi pada malamnya.

Persidangan penuh pula akan diadakan pada 7 hingga 9 Disember.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden dan Naib Presiden Umno, Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata sambutan ambang merdeka dan sambutan Hari Kebangsaan 2017 akan lebih meriah dan istimewa jika kontinjen negara menjuarai Sukan SEA 2017 (KL2017). 

"Dengan sokongan rakyat yang boleh dikatakan memuncak di semua venue-venue, atlet berhempas pulas untuk mencapai kejayaan demi negara, mudah-mudahan jika trend ini berlarutan, kita ada peluang jadi juara. 

"Sambutan ambang merdeka dan 60 tahun kemerdekaan pasti ada kelainan berbanding sambutan yang pernah kita adakan," katanya. 

Sehingga berita ini ditulis, Malaysia mendahului pungutan pingat dengan memperoleh 141 pingat iaitu 61 emas, 45 perak dan 35 gangsa. 

KL2017 bermula 19 Ogos dan dijangka berakhir 30 Ogos ini.


0 comments:

share2