Kumpulan rock legenda tanah air, Search, mengumumkan menarik diri daripada meneruskan kerjasama dengan AF Jets Sdn. Bhd. sekali gus konsert yang bakal berlangsung pada 30 Ogos depan dibatalkan.
Menurut vokalis kumpulan itu Amy kepada sebuah portal berita, konsert tersebut sepatutnya dapat dijalankan sekiranya ada pihak lain yang sudi untuk menjadi penganjur.
“Buat masa ini tidak jadi tetapi kalau ada penganjur di luar sana rasa hendak buat juga, kita boleh mula semula. Yang tidak jadi itu konsert 35 tahun dengan penganjur AF Jets,” katanya.
Kata Amy lagi, Search masih lagi bersemangat untuk meneruskan konsert istimewa itu bagi meraikan ulang tahun band dan mengalu-alukan penaja yang berminat.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman turut meluahkan rasa kecewa terhadap penganjurnya itu kerana gagal menyelesaikan kemelut yang berlaku antara Search dan pemain dram kumpulan itu, Yazit Ahmad.
“Pihak AF Jets sepatutnya menjelaskan hal ehwal pengurusan dan kewangan yang dikendalikan oleh mereka supaya salah faham antara kami tidak timbul, bukan bersikap seperti ‘mencurah minyak ke dalam api’.
“Kegagalan mereka melakukan demikian telah menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadap kami sehingga kami pula dituduh sebagai pecah amanah,” katanya.
Jelas Amy lagi, notis pembatalan konsert itu telah dihantar melalui peguam Search iaitu Yusmadi Yusoff menerusi firma guamannya, Fahda Nur & Yusmadi pada 19 Mei lalu.
0 comments:
Post a Comment