Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 16, 2016

[KUANTAN] DUGAAN NELAYAN MUSIM KEMARAU


Dugaan nelayan musim kemarau


Selepas diduga musim tengkujuh penghujung tahun lalu, nasib nelayan terus diuji dengan keperitan musim kemarau apabila kuala sungai menjadi cetek yang membuatkan bot nelayan sukar berlabuh.

Pengusaha bot, Tengku Daud Tengku A Bakar, 36 berkata, akibat perubahan iklim ditambah dengan fenomena El Nino, keadaan itu menyebabkan hasil laut sukar diperolehi apabila bot hanya boleh dikeluarkan ketika air pasang.

Menurutnya, bot nelayan besar C2 dan C juga akan mengalami kerosakan jika berlabuh di air yang cetek sehingga hampir menampakkan dasarnya.

“Musim kemarau benar-benar menguji kesabaran kami sebagai pengusaha bot. Jika bot rosak, nelayan tak dapat keluar ke laut...pendapatan kami terjejas untuk hari itu.

“Musim kemarau menyebabkan air sungai cetek yang menimbulkan pasir, batu-batan besar dan batang-batang pokok yang tumbang di permukaan air sekali gus menghalang laluan bot kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Tengku Daud berkata, air sungai yang cetek boleh menyebabkan kerosakan di bahagian kipas dan enjin akibat bergesel dengan batu dan pasir yang akhirnya dia berdepan kos yang tinggi untuk membeli peralatan dan membaiki kerosakan.

Katanya, kemarau tahun lalu dan tahun ini antara musim kemarau yang memberi kesan mendalam kepada pengusaha bot dan nelayan kerana mereka baru sahaja menghadapi musim tengkujuh dan tidak ke laut selama tiga bulan.

Bagi nelayan pantai, Abdul Hamid Hussin, 47, berkata, keadaan panas yang berlanjutan menyebabkan kesihatan nelayan terjejas.

“Jika di darat kita dah tak tahan panas, apa lagi tengah laut yang jauh lebih perit dan panas. Kami perlu bawa bekalan air yang cukup untuk minum dan mandi. Ubat juga kena ada setiap masa.

“Kalau kami sakit, pendapatan akan terjejas dan keperluan isi rumah juga tak boleh dibeli. Mahu atau tidak, kami akan turun ke laut setiap hari. Soal hasil tu kena tolak ke tepi sebab itulah hakikat kerja nelayan...ada masa lumayan, ada masa tiada langsung,” katanya yang merupakan nelayan di Jeti Tanjung Api.

Bagi nelayan tradisional, Mohammad Mat Sohor, 56 berkata, walaupun musim kemarau, kualiti ikan yang diperolehi oleh nelayan sekitar Kuantan masih yang terbaik di Semenanjung.

“Ikan-ikan di sini masih segar kerana kami pergi dan pulang pada hari yang sama. Ikan yang kami bawa segar dan boleh terus dijual kepada peraih.

"Walaupun kemarau ini ketentuan ALLAH SWT, kita berdoa supaya hujan turun dan kami (nelayan) dapat teruskan kerja harian,” katanya.

Mohammad turut meminta pihak berkaitan mengkaji semula pemberian elaun sara hidup kepada nelayan ketika musim tengkujuh supaya sama rata kepada nelayan sama ada yang turun ke laut dan tidak.

Dia turut memohon kelonggaran pihak berkuasa agar nelayan tradisional memiliki dokumen kebenaran Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) ke kawasan yang lebih jauh untuk mendapatkan hasil ikan.


0 comments:

share2