Putrajaya- "Hari ini kami daripada gabungan NGO-NGO Malaysia ada dari Seremban, Kuala Lumpur, Melaka, Selangor, Pahang hadir ke sini (Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad) kerana merasakan apa yang dilakukan oleh Mahathir kini sangat mendukacitakan kami,".
Demikan menurut Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos selepas menyerahkan memorandum menolak Deklarasi Rakyat Oleh Tun Dr Mahathir Bersama Pakatan Pembangkang di Pejabat bekas perdana menteri itu, di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya semalam.
Memorandum itu diterima oleh pegawai pejabat tersebut kerana ketiadaan Mahathir di pejabatnya semalam.
Jelas Jamal, sebelum Mahathir keluar daripada Umno, pihaknya beranggapan itu adalah satu kritikan yang biasa (berbeza pendapat dengan kerajaan), tetapi apabila Mahathir bersama dengan kepimpinan pembangkang, terutama DAP, itu merupakan tindakan yang tidak boleh diterima.
"Sebab itulah kami datang beramai-ramai, kami sangat kecewa dengan Tun (Mahathir) dan beberapa kepimpinan lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir , yang kita lihat cuba memecah belahkan orang Melayu.
"Kami sangat percaya kemakmuran adalah kerana kesatuan orang Melayu dan kaum lain, tetapi apa yang berlaku Mahathir cuba membawa kepentingannya sendiri daripada kepentingan negara," katanya di Pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.
Dalam pada itu, Jamal menyatakan bahawa Gabungan NGO-NGO Malaysia 100 peratus bersetuju dan bersama kepimpinan negara.
Sementara itu, hampir lima ratus orang hadir bagi memberi sokongan terhadap program tersebut.
Rata-rata yang hadir 'menjerit' Hidup Najib (perdana menteri) bagi menyatakan sokongan terhadap penyerahan memorandum tersebut.
"Hidup Najib!,"jelas kedengaran di betul-betul hadapan Pejabat berkenaan.
0 comments:
Post a Comment